Sama cantik, sama padan, itulah definisi tepat buat pasangan pelakon, Riena Diana dan Keith Foo yang kini semakin hangat bercinta. Meskipun jurangnya adalah usia dan agama, mereka dilihat serasi bersama.
Malah, kedua-dua pelakon ini juga sudah mula saling berjumpa dengan ahli keluarga masing-masing seolah memberi gambaran bakal melangkah ke fasa seterusnya.
Tidak menolak dakwaan bahawa mereka dalam fasa lebih serius, Riena mengakui hari itu pasti akan tiba namun mahu perkenalkan Keith terlebih dahulu kepada keluarganya di kampung pada Syawal ini.
“Perancangan untuk berkahwin itu ada, tetapi bukanlah tahun ini. Buat masa sekarang saya merancang untuk bawa Keith beraya dan berkenalan dengan keluarga di kampung sebelah ibu saya di Taiping. Cuma, saya bimbang mungkin bukan semua orang suka kerana kami berbeza agama.
“Tetapi, Keith memang teruja mahu sambut raya bersama. Dia juga ada kakak ipar yang beragama Islam. Jadi, mereka memang sentiasa sambut setiap perayaan bersama pada setiap tahun.
“Saya juga seronok jika jodoh itu datang dalam satu pakej yang lengkap. Sejak tahun lalu saya dapat merasa untuk sambut semua perayaan dengan keluarganya. Alhamdulillah, saya suka dan ini pengalaman baru untuk saya,” katanya kepada Pancaindera.
Tambah Keith, segala persiapan raya juga telah dirancang rapi oleh Riena secara tidak langsung membuatkan dirinya teruja untuk menyambut Syawal bersama insan tercinta.
“Saya memang tidak sabar mahu beraya dengan Riena pada tahun ini. Kami sudah merancang untuk mengenakan pakaian sedondon bersama anak saya, Skylar. Semuanya Riena sudah rancang dengan teliti.
“Saya suka sangat dengan musim perayaan. Suasana perpaduan setiap kaum seperti Melayu, Cina dan India ketika menyambut perayaan itu saya rasa meriah dan indah sangat.
“Perayaan yang menyatukan semua kaum. Saya rasa pengalaman ini tidak dapat diraikan di mana-mana negara lain,” ujarnya.
PERBEZAAN AGAMA BUKAN PENGHALANG
Percintaan berbeza agama pasti ada indahnya namun, tentu saja salah seorang perlu berkorban jika mahu terus bersama.
Dikelilingi dengan ahli keluarga yang berbilang kaum dan agama, perkara itu tidaklah asing bagi Keith. Malah, dirinya juga terbuka mahu mendalami agama Islam sebagai langkah awal untuk persiapkan diri ke fasa yang lebih serius.
Kata pelakon drama Pinjaman Syurga itu, dia tidak mahu memeluk Islam tanpa pengetahuan yang kukuh kerana mahu menjadi pembimbing terbaik untuk Riena.
“Saya belum memeluk agama Islam lagi. Doakan yang baik-baik untuk saya. Tetapi, saya sudah mula mendalami Islam dengan bantuan Riena dan beberapa inisiatif sendiri.
“Dia sendiri pesan pada saya agar tidak terburu-buru dalam hal ini. Dalam keluarga saya juga ada mualaf. Saya tidak mahu terburu-buru memeluk Islam tanpa fahaman yang kukuh sebelum ke fasa yang lebih serius.
“Saya mahu jadi pembimbing terbaik untuk Riena. Saya yakin masa itu akan tiba dan jika ada khabar gembira pasti saya akan kongsikan,” katanya.
Dalam pada itu, Keith turut menegaskan bahawa perbezaan agama bukanlah penghalang baginya memandangkan kedua-duanya saling menghormati fahaman dan kepercayaan agama masing-masing.
“Setiap hari saya akan kejut Riena untuk solat Subuh. Jika berada di luar, saya akan teman dia ke masjid untuk tunaikan solat.
“Perbezaan agama bukan penghalang untuk kita saling mengingatkan. Saya rasa itu tanggungjawab kita bersama. Meskipun berbeza agama, saya perlu titik beratkan perihal itu bukan sekadar mahu bercinta sahaja.
“Dalam masa sama, perkara itu jua yang membantu menguatkan lagi hubungan memandangkan kami sudah terapkan rasa hormat terhadap agama masing-masing,” katanya.
ELAK PENYAKIT AIN
14 tahun perbezaan jarak usia, Riena mengakui dirinya tidak pernah meletakkan sebarang had umur dalam mencari pasangan hidup.
Kata Riena, keperibadian Keith membuatkan dirinya berasa sangat dihargai apatah lagi apabila pelakon itu menjaganya dengan baik sepanjang mereka berhubungan.
“Dalam tidak sedar sudah setahun kami bercinta tetapi layanan Keith terhadap saya tetap sama. Dia seorang yang sangat mengambil berat dan pelindung untuk saya.
“Saya tidak pernah ada pembantu peribadi sebelum ini tetapi dia sediakan segala keperluan yang penting untuk saya. Dia layan saya seperti seorang puteri.
“Walaupun usianya lebih tua daripada saya, pada saya itu tidak penting kerana personalitinya sudah cukup membuatkan saya tertarik padanya. Saya rasa itulah bahasa cinta Keith terhadap saya,” katanya.
Tidak terlepas daripada konflik, pelakon drama Nur itu mengakui dirinya kini lebih berhati-hati untuk menayang kebahagiaannya kepada umum kerana khuatir terkena ‘penyakit ain’.
Katanya lagi, Keith sering menjadi penyejuk hati dan membimbingnya cara untuk mengawal emosi dengan baik di saat berdepan dengan masalah.
“Pada awal perhubungan, saya seorang yang beria-ria. Saya kerap memuat naik perkongsian di media sosial sehinggakan tidak sedar bahawa ada pihak yang mungkin kurang selesa dengan kami.
“Sekarang, saya cuba kurangkan kerana mahu elak penyakit ain itu. Saya rasa penyakit ain itu betul kerana setiap kali saya menayang kebahagiaan pada umum, pasti ada konflik.
“Saya pula seorang yang suka membaca komen. Bila mendapat pelbagai komen negatif tentang hubungan kami, saya mudah panas hati. Mujur ada Keith yang sering tenangkan saya dan mengajar saya untuk tidak membaca komen,” ujarnya. – UTUSAN