'Kami akan ambil tindakan undang-undang' - Utusan Malaysia

‘Kami akan ambil tindakan undang-undang’

NURHA'afza Salwa Hazizan ketika ditemui pemberita pada pengebumian anaknya di Tanah Perkuburan Islam Maqbarah Salimah Taman Zaitun Indah di Sikamat, Seremban, tengah malam tadi. UTUSAN/ NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Keluarga kepada salah seorang mangsa nahas dirempuh sebuah kereta di Jalan Persiaran Senawang 1, dekat persimpangan lampu isyarat Taman Matahari Height di sini, Khamis lalu akan mengambil tindakan undang-undang ke atas pelaku bertanggungjawab.

Ibu kepada Aisar Azim Abdullah, 17, Nurha’afza Salwa Hazizan, 41, berkata, tindakan itu diambil memandangkan anaknya sudah terkorban dalam nahas itu sementara dua lagi rakan anaknya juga meninggal dunia pada hari kejadian.

“Kami akan ambil tindakan, ya lah sekarang Alang (Aisar Azim) pun sudah meninggal, kawannya juga meninggal dua orang, kami akan lawan, memang sudah ada peguam yang tawarkan khidmat secara percuma,” katanya.

Dia ditemui pemberita selepas pengebumian anaknya itu di Tanah Perkuburan Islam Maqbarah Salimah, Taman Zaitun Indah di Sikamat, di sini, awal pagi tadi.

Allahyarham Aisar Azim disahkan meninggal dunia pada pukul 7.23 malam semalam ketika sedang dirawat Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS).

Sementara itu, Nurha’afza Salwa berkata, dia dan ahli keluarga lain sudah reda sejak anaknya itu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU)

“Otak anak saya memang sudah mati, penafasan hanya dibantu oleh sokongan mesin. Sejak dari pagi semalam (kelmarin), pergi hospital ziarah, saya sudah bersedia.

“Selepas itu, saya berbincang dengan anak-anak yang lain kami kena reda,” katanya yang mempunyai 10 anak iaitu empat lelaki dan enam perempuan berusia tujuh bulan hingga 22 tahun.

Terdahulu, jenazah pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sheikh Ahmad itu dikebumikan pada pukul 12.40 tengah malam.

Sebelum ini media melaporkan, dua remaja maut selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta yang gagal berhenti di lampu isyarat merah.

Kereta berkenaan yang dipandu remaja berusia 18 tahun turut merempuh sebuah lagi motosikal yang dinaiki oleh Aisar Azim dan seorang lagi remaja berusia 13 tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya