KUALA LUMPUR: Seramai 59 individu ditahan polis dalam serbuan di sebuah pusat hiburan dipercayai menawarkan gadis pelayan pelanggan (GRO) dengan tawaran tip berbentuk kalung bunga di Jalan Sungai Besi, Pudu di sini, awal pagi tadi.
Serbuan Op Noda kira-kira pukul 1 pagi itu dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
Ketika serbuan, terdapat beberapa cubaan wanita warga asing melarikan diri, namun berjaya ditangkap selepas kawasan premis dikepung pasukan operasi lebih awal.
Serbuan ini turut merampas 12 kalungan bunga warna merah jambu, merah, biru serta hijau disyaki merupakan tip dengan nilai yang berbeza setiap warna.
Warna merah jambu membawa maksud nilai tip RM100, merah (RM300), biru (RM500) dan hijau (RM1,000).
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, siasatan awal mendapati, pusat hiburan terbabit disyaki menggajikan pekerja asing yang menyalahgunakan pas lawatan sosial.
Katanya, polis menahan 59 individu termasuk 47 wanita warga asing berusia dalam lingkungan 19 hingga 45 tahun.
“Semakan awal mendapati dua warga tempatan merupakan pengurus serta penjaga premis, 10 pekerja warga Bangladesh serta 47 disyaki GRO.
“Wanita asing ini terdiri daripada 34 warga Thailand, Laos (9), Vietnam (3) serta seorang Myanmar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, selain itu, 31 daripada 74 individu didapati positif dadah hasil ujian air kencing dilakukan.
Tambah Rusdi, tangkapan turut dibuat terhadap sembilan individu yang merupakan pengawal pusat hiburan terbabit untuk siasatan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
Jelasnya, pihaknya turut merampas wang tunai berjumlah RM1,920 dalam serbuan terbabit.
“Kesemua tangkapan dibawa ke IPD Dang Wangi untuk tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya.-UTUSAN