KUALA LUMPUR: Penyanyi dan usahawan, Ifa Raziah, 49, menolak dakwaan liar yang kononnya dia baru-baru ini berpura-pura pengsan untuk memancing dan mengalihkan perhatian masyarakat kepada festival jualan Starvendors KL Mega Raya Fest yang berakhir semalam.
Kata Ifa, insiden tersebut bukan perkara yang dibuat-buat sebaliknya berpunca daripada masalah lemah jantung serta tekanan darah rendah yang dialaminya.
“Biasalah, orang sangka saya cari publisiti dan marketing murahan untuk dapatkan perhatian. Hakikatnya, ketika kejadian saya memang sakit kerana jantung saya sangat lemah. Dan untuk pengetahuan umum, saya juga menghidap tekanan darah rendah.
“Buktinya, kini sudah tiga hari saya ditahan di hospital dan berada di bawah pemantauan doktor.
“Kalau tak sakit, kenapa saya masuk hospital? Jangan ingat pihak insurans dengan mudah nak luluskan kemasukan saya ke hospital.
“Banyak lagi kerja di Starvendors yang perlu saya uruskan. Jadi fikirlah dulu sebelum buat tuduhan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Penyanyi lagu Ser Ser Ser itu sebelum ini menjadi buah mulut netizen apabila rakaman yang menunjukkan dia jatuh pengsan ketika berada di Festival jualan kelolaannya, Starvendors KL Mega Raya Fest baru-baru ini tular di media sosial.
Susulan daripada itu, muncul netizen yang mempersoalkan kebenaran insiden tersebut selain ada yang mendakwa ia sekadar lakonan untuk meraih perhatian.
Dalam masa yang sama, Ifa juga menafikan tanggapan segelintir netizen yang mengatakan festival jualan kendaliannya itu gagal menarik ramai pengunjung.
“Tak menjadi dari segi apa? Kami anjurkan dengan gah, ada pertunjukan bunga api, belon udara panas, kereta berhias, festival makanan Ramadan dan bermacam-macam lagi.
“Starvendors kali ini disertai 350 peniaga berniaga dengan pembabitan 50 selebriti.
“Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan biduanita negara, Datuk Seri Nurhaliza juga turun padang. Jadi bahagian mana yang dikatakan ada kesilapan?,” ujarnya.