SATU pertanyaan sengaja dilayangkan kepada aktres berusia 32 tahun ini. “Jika dapat diputar kembali masa, apa perkara yang paling ingin sekali diubah?”
Entah mengapa pertanyaan itu sangat berat untuk dijawab Mira Filzah sehingga spontan terpacul kata ringkas di bibirnya.
“Susahnya, soalan ini sangat mendalam,”ujarnya dengan riak gementar di wajah.
Pun begitu, mengingatkannya tentang relevanisasi pertanyaan dengan drama lakonannya menerusi karya berjudul Gadis Masa di saluran Viu baru-baru ini, Mira tidak dapat tidak, akhirnya mencuba menyusun kata sebaik mungkin.
Percaya bahawa setiap pengalaman yang pernah dilalui adalah pengajaran mahal buat seseorang dalam hidup, Mira atau nama sebenarnya, Nur Amirah Filzah Badioezaman ternyata tidak menginginkan sebarang perubahan.
Walaupun mungkin dia memiliki ‘mesin masa’, Mira mengakui tiada apa yang perlu diubah kerana yakin Allah telah mencipta perjalanan cerita yang sempurna sebagai takdir hidupnya.
“Secara peribadi, tiada apa yang ingin diubah. Saya percaya apa yang berlaku di masa lalu membentuk diri saya sekarang. Jika saya tidak melalui pengalaman itu, mungkin saya tidak akan menjadi seperti hari ini.
“Pelajaran hidup sangat penting untuk kita berkembang menjadi lebih matang dan bijak dalam membuat keputusan.”katanya.
Pun begitu, pelakon kelahiran Ipoh, Perak ini juga memahami bahawa adalah normal bagi seseorang manusia itu untuk merasakan keinginan mengubah masa lalu.
“Tidak salah untuk kita rasa ingin mengubah sesuatu. Itu normal. Tetapi ketahuilah bahawa pengalaman masa lalu memberikan kita pengajaran untuk menentukan apa yang kita mahu lakukan dalam hidup pada masa depan.
“Kalau semua perkara di masa lalu betul sahaja, kita tak akan belajar apa-apa. Kalau kita tahu sesuatu yang akan terjadi, kita mungkin akan jadi lebih leka dan ambil mudah.
“Contohnya, kalau kita tahu yang dalam 10 tahun kita akan jadi artis popular, kita mungkin tidak akan belajar bersungguh-sungguh sekarang. Kita akan main-main sebab kita tahu apa yang akan berlaku di masa depan.
“Sebagai manusia, kita perlu berkembang secara sempurna tanpa terlalu bergantung kepada ramalan masa depan,”katanya.
Bagaimanapun, tambah Mira, dia juga percaya bahawa takdir boleh diubah dengan usaha dan doa.
“Allah memang sudah susun, tetapi takdir boleh diubah dengan usaha dan doa. Takdir akan datang kepada kita berdasarkan apa yang kita percaya dan apa yang kita usahakan untuk diri sendiri.
“Itu yang saya pegang dan disebabkan itu, saya tidak menyesali apa-apa sahaja yang pernah saya lalui sebelum ini sebagai sebahagian daripada pengalaman dan pengajaran hidup, ”katanya.
Lembut tetapi tegas
Mengusik dengan pertanyaaan mengenai personaliti dirinya yang sering menyerlah sebagai seorang wanita penuh kelembutan, Mira sempat tertawa kecil.
Mendakap semua pujian dan pandangan baik tentang dirinya, Mira bagaimanapun tidak menolak dia juga mempunyai sisi tegas dalam kelembutan yang disangkakan.
“Secara umum, orang mungkin anggap bercakap dengan saya mudah sebab mereka melihat kelembutan saya itu. Tetapi dalam soal keputusan, saya ada ketegasan sendiri.
“Kalau saya nak sesuatu, saya akan cakap nak. Kalau saya tak nak, saya akan cakap tak nak. Saya ini pula anak kedua, dan selalunya anak nombor dua ini memang ada perangai degil dan tegas, tetapi pada masa yang sama ada ‘soft spot’ juga,”katanya.
Selain itu, kongsi Mira, dia juga sebenarnya merupakan seorang yang suka berjenaka. Cuma, sisi itu ditonjolkan kepada teman rapat, keluarga atau mereka yang dikenalinya sahaja.
“Saya ada satu sisi lain yang kadang-kadang, bila berhadapan dengan orang yang saya tak rapat atau dalam situasi kerja, sisi itu berbeza dengan diri saya yang sebenar.
“Mungkin orang nampak saya lembut, sopan dan baik. Tetapi sebenarnya, saya juga seorang yang fun, bubbly, dan boleh berjenaka, cuma hanya dengan orang tertentu sahaja.
“Sisi itu tidak boleh dipaksa keluar. Ia akan muncul secara automatik bila saya bersama orang yang selesa dan rapat,”katanya tersenyum.
Jadi artis atau apa?
Perbualan kami tempoh hari juga membawa Pancaindera menyelak semula kepada kanvas perjalanan seni Mira sejak awal pembabitannya dalam bidang penuh glamor ini.
Berterus-terang, Mira dengan sopannya memberitahu bahawa pada asalnya dia tidak pernah merancang untuk bergelar seorang pelakon kerana ketika menjadi pelajar jurusan perniagaan, bidang itulah yang disasarkan saat melangkah keluar dari menara gading.
“Kalau nak tahu, saya tak pernah merancang untuk masuk dalam industri hiburan ini. Saya sebenarnya cuma mengisi masa lapang dengan mengambil ‘job’ peragaan di Karangkraf semasa belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.
“Dari situ, tawaran datang sikit demi sikit dan tiba-tiba ia menjadi kerjaya tetap. Saya tak ada niat awal untuk berada di sini, tetapi minat itu datang kemudian.”katanya.
Cerita Mira lagi, sejak dari kecil, dia sebenarnya bercita-cita untuk menjadi seorang pendidik.
“Dari kecil, saya suka bidang pendidikan. Mungkin saya selesa untuk bercakap dan berkongsi ilmu. Tapi sekarang, apabila berada dalam bidang seni pun kita boleh mendidik masyarakat.
“Tidak cuma itu, menerusi perkongsian di media sosial pun boleh mendidik dan kongsi ilmu. Sekarang, sesiapa yang ada Instagram atau TikTok juga secara tidak langsung mengajar sesuatu kepada orang lain.
“Sebab itu, kita kena pastikan kita menyebarkan perkara yang baik supaya semua orang dapat manfaat,”katanya.
Namun, Mira juga sedar akan kemudaratan teknologi terutamanya bagi golongan selebriti yang lazimnya mudah menjadi mangsa salah faham atau manipulasi.
“Saya perasan sekarang ini banyak benda yang boleh dimanipulasi. Terlalu banyak salah faham. Dah ramai juga yang terkena di TikTok, termasuk saya sendiri. Ini cabaran dunia digital sekarang.
“Saya bersyukur kerana memiliki jumlah pengikut yang tinggi memudahkan saya untuk mempromosikan drama dan menjadi duta kempen. Tetapi sebagai individu, saya perlu mengendalikannya dengan bijak,”katanya.