SEPANG: Seorang kakitangan Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) maut apabila motosikal ditunggangi bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di sini, pagi tadi.
Mangsa dikenali sebagai Muhammad Fathurrahman Faizul Akhmal, 22, maut serta merta di lokasi kejadian akibat kemalangan itu.
Dalam kejadian pukul 7.30 pagi di Jalan Jenderam Hilir menghala ke Bangi itu, mangsa dikatakan dalam perjalanan ke tempat kerja sebelum terbabit kemalangan.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, sejurus kemalangan, kenderaan pacuan empat roda berkenaan memecut meninggalkan lokasi kejadian.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang atau menghubungi Inspektor Nurulsakela Ramlee di talian 019-5588221.
“Kami ingin menasihatkan kepada semua pengguna jalan raya supaya berhati-hati demi keselamatan diri, keluarga dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya. – UTUSAN