KEMAMAN : Kadar populasi rakyat di Terengganu kini mencapai seramai 1.23 juta penduduk.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kadar populasi itu meningkat sebanyak 31.6 peratus daripada 936,000 penduduk pada 2002 kepada 1.23 juta penduduk.
Beliau berkata, peningkatan Kadar Pemberian Mengikut Bilangan Orang yang dinaikkan sebanyak 25 peratus bermula tahun hadapan itu adalah tepat dengan peningkatan populasi rakyat di negeri itu.
“Keputusan itu merupakan satu permulaan ke arah usaha menambah baik beberapa kadar pemberian lain kepada negeri dengan mengambil kira perbezaan demografi dan ini juga membuktikan hubungan baik antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri.
“Kali terakhir kadar ini (pemberian mengikut bilangan orang) dipinda adalah pada tahun 2002, sudah pasti dalam tempoh 20 tahun banyak perubahan telah berlaku daripada aspek populasi rakyat dan nilai ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa Madani Peringkat Negeri Terengganu 2025 di Masjid Sultan Ahmad, di sini hari ini yang turut disertai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada 6 Mac lalu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan Kadar Pemberian Mengikut Orang dinaikkan 25 peratus atau RM109 juta kepada RM548 juta berkuatkuasa mulai 2026. – UTUSAN