PETALING JAYA: Seorang jururawat wanita menerima empat jahitan di kepala selepas dipukul lelaki kurang siuman semasa berjalan kaki ke hentian bas berhadapan Hotel Grand Seasons, Jalan Pahang, di sini, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner, Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, polis menerima laporan pada 10.38 malam daripada jururawat Hospital Kuala Lumpur (HKL) berkaitan kejadian itu.
Katanya, mangsa memaklumkan semasa berjalan kaki kira-kira 5.10 petang telah dicederakan dengan cara dipukul di belakang kepala menggunakan suatu objek keras oleh seorang lelaki.
“Mangsa mengalami kecederaan dan menerima empat jahitan di kepala akibat kejadian itu setelah mendapatkan rawatan lanjut di HKL.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan polis menahan suspek pada 10.11 malam Sabtu lalu di sekitar lokasi kejadian mangsa dicederakan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Menurutnya, pemeriksaan badan dilakukan dan berjaya merampas sebilah pisau pemotong kertas dalam milikannya.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan juga mendapati suspek adalah seorang lelaki kurang siuman serta tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui bersamanya dan gagal mengemukakan butiran dirinya secara lisan.
“Suspek kemudiannya dihantar ke HKL dan ditahan di wad psikiatri untuk pemantauan selanjutnya.
“Sehubungan itu, pihak polis menasihatkan orang ramai untuk sentiasa berhati-hati dan menyalurkan maklumat kepada pihak polis jika terdapat pergerakan mencurigakan yang berkemungkinan mengancam keselamatan diri,” katanya.
Katanya, tindakan akan diambil kepada mana-mana pihak yang terlibat seperti diperuntukkan undang-undang. – UTUSAN