PETALING JAYA: Keakraban antara sayap pemuda dalam Kerajaan Perpaduan tidak boleh diukur melalui mesyuarat yang diadakan antara mereka.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, sebarang teguran atau saranan boleh dibuat melalui saluran tidak formal, sama ada panggilan telefon secara terus atau apa sahaja kaedah yang boleh digunakan.
“Bagi saya, kalau ada perkara penting, tiada masalah untuk kita bincang melalui panggilan telefon atau cara lain yang lebih mudah.
“Namun, untuk mengukur keakraban itu semakin erat atau longgar dengan mengira bilangan mesyuarat, bukanlah satu logik asas yang kuat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, tiada perbincangan dan mesyuarat bersama sejak pertengahan tahun lalu dilihat menjadi antara faktor kerapnya berlaku perselisihan di peringkat sayap pemuda parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini.
Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Mohd. Hasbie Muda berkata, keadaan itu menjadi satu kelompongan khususnya hubungan dengan Pemuda UMNO, sedangkan masing-masing mempunyai hasrat sama untuk mengukuhkan Kerajaan Perpaduan.
Tambah Muhamad Akmal, tahun lalu yang padat dengan pilihan raya kecil (PRK) menjadi antara faktor wujudnya kelompongan komunikasi antara sayap dalam Kerajaan Perpaduan.
Katanya, bagaimanapun beliau setuju untuk mesyuarat antara sayap dilakukan dengan lebih kerap.
“Kita mengalu-alukan sebarang mesyuarat, Hanya perlu hubungi dan kami akan hadir,” jelasnya. – UTUSAN