JOHOR BAHRU: Keadaan banjir di negeri ini bertambah buruk apabila jumlah mangsa meningkat lebih dua kali ganda kepada 2,550 orang melibatkan 707 keluarga setakat pukul 4 petang ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani berkata, jumlah itu mencatatkan peningkatan ketara berbanding 1,048 mangsa daripada 308 keluarga pada pukul 12 tengah hari.
Katanya, daerah Kota Tinggi dan Kluang menjadi daerah terbaru dilanda banjir, menjadikan lima daerah yang terjejas termasuk Johor Bahru, Kulai dan Pontian.
“Johor Bahru kekal sebagai daerah paling terjejas dengan seramai 784 penduduk daripada 202 keluarga ditempatkan di 15 pusat pemindahan sementara (PPS). Kota Tinggi turut merekodkan jumlah mangsa banjir yang tinggi dengan seramai 729 penduduk daripada 197 keluarga dipindahkan ke 11 PPS,” katanya dalam kenyataan, di sini.
Azmi yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri berkata, jumlah mangsa banjir di Kulai turut melonjak kepada 506 penduduk daripada 159 keluarga di lima PPS, manakala di Pontian meningkat lebih tiga kali ganda kepada 495 penduduk daripada 138 keluarga di 11 PPS.
“Kluang antara daerah yang baru terjejas merekodkan 36 penduduk daripada 11 keluarga dipindahkan ke sebuah PPS yang pertama dibuka di daerah itu,” katanya.
Air Sungai Sayong di Kulai, Sungai Pulai di Pontian serta Sungai Skudai dan Sungai Tiram di Johor Bahru berada pada paras bahaya.
Jalan Lukut Cina (Taman Aman) dan Jalan Mawai Lama di Kota Tinggi ditutup bagi semua jenis kenderaan disebabkan keadaan banjir yang berarus deras. – UTUSAN