Jualan Rahmah antara lokasi tumpuan persiapan akhir sebelum Ramadan

Jualan Rahmah antara lokasi tumpuan persiapan akhir sebelum Ramadan

ORANG ramai tidak melepaskan peluang untuk membuat persiapan terakhir sebelum menyambut Ramadan esok dengan mengunjungi Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) atau Jualan Bergerak Rahmah di Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS : Kurang 24 jam sebelum menyambut kedatangan 1 Ramadan pada tahun ini, orang ramai dilihat tidak melepaskan peluang untuk membuat persiapan terakhir dengan keluar membeli pelbagai barang keperluan harian, hari ini.

Antara lokasi yang menjadi tumpuan ramai ialah Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) yang diadakan di beberapa lokasi di Pulau Pinang termasuk di tapak Karnival Mahabbah di Bertam Square, di sini.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, antara barangan keperluan yang menjadi rebutan ialah ayam yang dijual pada harga RM11 seekor, telur serendah RM9 sepapan (gred B), minyak masak paket 1 kilogram (kg) serta beberapa barangan keperluan lain pada harga yang murah.

Difahamkan, beras tempatan 10kg yang berharga RM26 sekampit juga mula dijual hari ini, namun, ia hanya boleh didapati di beberapa lokasi PJRM dan Program Jualan Agro Madani (PJAM) terpilih sahaja selain boleh dibeli daripada beberapa peruncit berlesen yang tertentu dalam kuantiti yang terhad.

Sementara itu, seorang suri rumah, Siti Nor Hisyam Abdullah, 44, ketika ditemui berkata, dia mampu menjimatkan perbelanjaan untuk barang dapur sehingga 50 peratus dengan membeli pelbagai barangan keperluan harian di situ.

“Saya tidak pernah ketinggalan untuk mengikuti mana-mana program Jualan Rahmah (PJRM) yang diadakan tidak jauh dari rumah saya di Bertam Putra di sini.

“Bukan senang nak dapat harga macam ini di tempat lain. Tambahan pula, esok kita dah mula berpuasa. Alhamdulillah. Syukur,” kata wanita itu lagi.

Dalam pada itu, PJRM yang diadakan di Bertam Square itu adalah bersempena dengan penganjuran Karnival Mahabbah kali ke-17 yang disertai oleh 300 usahawan bumiputera dengan sasaran pengunjung lebih 500,000 orang sepanjang Ramadan ini.

Menurut penganjur karnival, Zaini Aboo Hassan, selain membawa PJRM atau Jualan Bergerak Rahmah kepada penduduk Bertam, pihaknya turut mengagihkan daging lembu secara percuma kepada lebih 100 asnaf terpilih dalam kawasan tersebut.

ZAINI Aboo Hassan (tiga dari kiri) bersama sebahagian daripada golongan asnaf yang menerima agihan daging lembu percuma sempena Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) atau Jualan Bergerak Rahmah di Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang hari ini.

“Untuk penganjuran karnival kali ke-17 ini, kita memang sentiasa bersedia untuk memberikan kelainan kepada pengunjung dengan pelbagai acara sampingan termasuk penganjuran program berbuka puasa ‘iftar on the road’.

“Selain itu, pengunjung juga boleh terus menunaikan solat terawih dalam bilik khas yang dilengkapi penghawa dingin yang disediakan di sini,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya turut menyediakan pelbagai hadiah menarik termasuk sebuah kereta jenis Perodua Axia kepada pengunjung bertuah sepanjang penganjuran karnival berkenaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya