Jual petai untuk wang pembedahan isteri

Jual petai untuk wang pembedahan isteri

MOHD. Noor Saad (dua dari kiri) ketika dikunjungi G. Rajasekaran dan Hasnor Abd. Hamid di Kampung Sungai Raya, Port Dickson, Negeri Sembilan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Individu yang membuang petai jualannya atas jalan di hadapan dua anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dalam kejadian Khamis lalu mendedahkan, dia menjaja di situ demi mengumpul wang untuk pembedahan membuang selaput mata kiri isterinya.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Mohd. Noor Saad, 67, berkata, dia baru enam hari menjaja di kawasan itu kerana musim petai dengan membawa sebanyak 25 ikat petai ketika kejadian.

Mohd. Noor yang tinggal di Kampung Sungai Raya, Pasir Panjang di sini berkata, sebelum kejadian, dia ditegur oleh penguat kuasa terlibat ketika beberapa pelanggan membeli petai daripadanya.

“Saya bukan selalu berniaga di situ, baru enam hari, semasa musim petai sahaja untuk dijual sebanyak 25 ikat kepada orang ramai yang keluar masuk pasar raya.

“Selepas itu, saya beredar dan ke tapak parkir pula. Penguat kuasa yang masih meronda di kawasan sama meminta kad pengenalan, saya dimaklumkan petai jualan saya akan dibawa ke pejabat bagi tujuan pembuktian.

“Itu sebabnya saya buang, daripada bagi mereka dan saya kena bayar saman pula. Untung berniaga ini tidak seberapa cuma untuk keperluan saya serta isteri yang perlu melakukan pembedahan membuang selaput mata kiri di hospital. Saya berniaga untuk mengumpul wang bagi tujuan itu,” katanya.

Tambah Mohd. Noor, meskipun kecewa dengan sikap penguat kuasa berkenaan, dia meminta orang ramai untuk bertenang dan tidak memanjangkan lagi peristiwa itu.

Ujarnya, dia tidak pernah berharap kejadian yang berlaku itu menjadi tular dalam media sosial sehingga mendapat pelbagai reaksi masyarakat.

Katanya, kejadian itu telah diselesaikan dengan baik selepas dikunjungi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjung, Dr. G. Rajasekaran; Yang Dipertua MPPD, Hasnor Abd. Hamid dan anggota penguat kuasa terlibat.

“Selain itu ada yang datang memberikan duit, beras malah ada yang mahu membantu membaik pulih rumah.

“Saya harap semua pihak bertenang kerana kes sudah pun selesai. Kejadian yang berlaku ini ada hikmahnya juga,” katanya yang turut memberitahu telah diberikan borang berniaga sementara oleh MPPD. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya