PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon, Daiyan Trisha tampil berkolaborasi dengan Alfie Zumi menerusi lagu terbaharunya, Jom Raya sempena Syawal ini.
Menurut Daiyan, lagu raya pertamanya itu sudah siap pada tahun lalu namun, tidak sempat menjalani proses rakaman.
“Ini merupakan lagu raya pertama saya dan sangat mengujakan. Sebenarnya lagu ini sudah pun separuh jalan disiapkan pada tahun lalu tetapi disebabkan kekangan masa, saya tangguh dahulu.
“Tahun ini saya hanya membuat beberapa penambahbaikan dan terus merakamkan Jom Raya. Rasanya ini antara projek paling mudah dan paling seronok untuk dihasilkan,” katanya
Selain itu, Daiyan selalu komposerturut bekerjasama dengan penulis lirik Glowrush dan Efry Arwis untuk menghasilkan lagu Jom Raya yang turut diselitkan ‘pick up line’ sekali gus menjadikan lagu itu lebih menarik.
“Saya perhatikan ramai antara mereka suka beri ‘pick up line’ berkaitan dengan jodoh di media sosial setiap kali tibanya lebaran. Saya selalu sahaja nampak ayat-ayat tersebut digunakan dan ia sangat menarik perhatian.
“Disebabkan itulah saya mahu realisasikan Jom Raya ini dengan menggunakan patah perkataan yang menarik. Saya mahu hasilkan sebuah lagu raya yang mengandungi ‘pick up line’ dan disukai oleh semua pendengar,” jelasnya.
Mengulas mengenai kolaborasinya bersama Alfie, Daiyan memberitahu bahawa lagu tersebut mempunyai dua versi di mana versi solo itu bakal dilancarkan pada 31 Mac ini.
“Sebenarnya lagu ini ada dua versi termasuklah versi solo. Bagi saya kedua-dua versi mempunyai keistimewaan tersendiri dan pendengar boleh menikmati mana-mana versi yang mereka suka. Untuk Jom Raya versi solo, saya akan lancarkan pada 21 Mac ini di semua platform digital.
“Jom Raya merupakan gabungan antara elemen moden dan tradisional. Kita cuba untuk penuhi selera semua pendengar dan saya harap mereka berpuas hati,” tambahnya.
Dalam masa sama, lagu raya tersebut turut dilancarkan dengan video muzik yang diserikan lagi dengan kemunculan pempengaruh, Kasih Leona dan pelakon, Jazmy Juma.
Jom Raya sudah dilancarkan secara rasmi pada 28 Februari lalu dan MV pula boleh ditonton melalui saluran YouTube Daiyan Trisha.-UTUSAN