JOHOR BAHRU: Tanggal 23 Mac setiap tahun memberi makna yang mendalam kepada rakyat Johor.
Ini kerana pada tarikh 23 Mac 2015, Sultan Ibrahim yang menggantikan ayahanda baginda, Almarhum Sultan Iskandar dimahkotakan sebagai Sultan Johor Ke-5.
Walaupun sebagai putera sulung kepada Almarhum Sultan Iskandar, keperibadian yang tinggi dan berjiwa rakyat mendekatkan lagi baginda dengan rakyat jelata.
Malah, hasil cetusan idea baginda dalam mendekati dan menyantuni rakyat, maka terlaksana penganjuran Kembara Mahkota Johor (KMJ) yang dimulakan pada 2001.
Hingga kini, program yang menjelajah ke seluruh pelosok negeri Johor sentiasa dinantikan oleh rakyat jelata.
Menerusi KMJ, rakyat bukan sahaja dapat bersua muka dengan baginda dan kerabat diraja Johor, malah berkesempatan menjamu selera dan bergurau senda tanpa protokol yang ketat.
Malah, Sultan Ibrahim turut tidak kekok mencuba permainan tradisional rakyat serta menjamu selera di kedai-kedai biasa.
Baginda adalah simbol perpaduan dan terjemahan keharmonian rakyat hidup berbilang kaum yang menetap di Johor.
Sikap dan keprihatinan baginda terhadap kebajikan rakyat turut diterjemahkan dengan pelbagai idea dalam memajukan dan membangunkan lagi negeri Johor.
Malah, lebih sedekad memerintah, Johor kini menjadi sebuah negeri yang pesat membangun.
Pelaburan langsung asing (FDI) ke Johor terus meningkat dan pada tahun lalu merekodkan sebanyak RM48.5 bilion, bertambah berbanding RM43.1 bilion pada tahun sebelumnya, ketiga tertinggi di negara ini.
Dengan pelaksanaan pelbagai inisiatif, termasuk terbaharu Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, ekonomi dan pembangunan serta kemajuan Johor diyakini melonjak dengan lebih pesat.
Pengoperasian Sistem Rapid Transit (RTS) yang menghubungkan Johor Bahru-Woodlands, Singapura pada awal 2027, menjadikan sistem perhubungan melibatkan Johor dan Singapura akan lebih efisien, khususnya bagi pekerja dan pengembara.
Seiring dengan kepesatan pembangunannya, kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi sentiasa berusaha memberi keselesaan kepada rakyat, termasuk menyediakan lebih banyak rumah mampu milik serta peluang pekerjaan dengan gaji yang kompetitif.
Usaha itu bukan sahaja memberi peluang pekerjaan dan taraf kehidupan yang lebih baik, malah untuk memastikan rakyat terus menabur bakti di negeri yang turut digelar Permata Selatan.
Ini seiring dengan slogan ‘Maju Johor’ yang digagaskan oleh kerajaan negeri Johor.
Daulat Tuanku, Allah peliharakan Sultan.
Biodata Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
» Diputerakan pada 22 November 1958 di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru dan merupakan putera sulung kepada Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail dan Almarhumah Enche’ Besar Hajah Khalsom Abdullah.
» Mendapat pendidikan asas di Taman Didikan Kanak-Kanak Tunku Ampuan Mariam, Johor Bahru sebelum memulakan pendidikan di Sekolah Temenggong Abdul Rahman (1) Johor Bahru.
» Melanjutkan pelajaran di Trinity Grammar School, Sydney, Australia pada 1968 hingga 1970 sebelum meneruskan pelajaran menengah di English College (Maktab Sultan Abu Bakar) dari 1971 hingga 1975.
» Mendapat pendidikan agama di Sekolah Agama Ayer Molek, Johor Bahru.
» Menjalani latihan ketenteraan di Pusat Latihan Tentera Darat (Pulada) di Kota Tinggi dan dilantik sebagai Komander Platun sebelum mengikuti latihan ketenteraan pegawai muda di Fort Benning, Georgia, Amerika Syarikat serta menjalani latihan ‘airborne’ dan ‘ranger’ untuk pegawai infantri.
» Meneruskan latihan ketenteraan sebagai ‘American Special Forces’ dan ‘Pathfinder’ dan telah membuat 19 terjunan payung terjun, lapan daripadanya pada waktu malam untuk ditauliahkan sayap serta diiktiraf sebagai seorang komando.
» Lebih membanggakan turut ditauliahkan sebagai anggota pasukan SEAL (tentera darat, laut dan udara).
» Melakukan beberapa terjunan di Bandung, Indonesia sebelum ditauliahkan sebagai ahli kehormat Komando Pasukan Khusus (KOPASSUS), Indonesia. – UTUSAN