SEREMBAN: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan memberi khidmat kaunseling dan psikologi kepada keluarga mangsa kemalangan maut di Senawang, dalam kejadian minggu lalu.
Pengarah JKM Negeri Sembilan, Muhammad Yusry Che Dah berkata, seorang daripada tiga ibu mangsa terlibat didapati mengalami simptom kemurungan berdasarkan pemerhatian yang dibuat.
“Pegawai JKM yang terdiri daripada kaunselor dan pegawai psikologi serta pasukan pelindung kanak-kanak Seremban telah membuat lawatan ke rumah keluarga mangsa terlibat bagi memberi sokongan psikologi kepada mereka.
“JKM dapati ibu kepada salah seorang mangsa sangat terkesan dan kami meminta anaknya untuk memantau keadaan ibu yang kurang stabil,” katanya di sini hari ini.
Menurut Muhammad Yusry, pihaknya akan membuat pemantauan secara berkala terhadap keluarga terbabit bagi memastikan kesedihan tidak terus membelenggu mereka sehingga boleh menganggu rutin harian.
Jelas beliau, dua daripada keluarga berkenaan juga merupakan penerima bantuan bulanan daripada JKM.
Sebelum ini media melaporkan, dua remaja masing-masing berusia 15 dan 16 tahun maut di tempat kejadian selepas motosikal yang dinaiki mereka dipercayai dirempuh sebuah kereta yang melanggar lampu isyarat merah.
Seorang lagi remaja berusia 17 tahun yang menunggang sebuah motosikal lain meninggal dunia selepas empat hari dirawat di hospital. Pembonceng motosikal itu pula parah namun sudah mula sedarkan diri dan kini masih dirawat.
Pemandu kereta, serta penumpang, masing-masing berusia 18 dan 17 tahun turut cedera parah.-UTUSAN