JKDM tumpaskan sindiket dadah bernilai RM4.12 juta guna kurier - Utusan Malaysia

JKDM tumpaskan sindiket dadah bernilai RM4.12 juta guna kurier

ANTARA dadah yang dirampas dalam tiga serbuan berbeza.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

PETALING JAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menerusi Cawangan Narkotik, Bahagian Penguatkuasaan berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah dengan rampasan bernilai RM4,124,173 dalam tiga serbuan berasingan baru-baru ini.

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) JKDM, Raizam Setapa berkata, kejayaan itu adalah hasil risikan dan operasi berterusan pihaknya dalam membanteras jenayah penyeludupan dadah yang semakin licik menggunakan pelbagai modus operandi.

“Sindiket berkenaan menggunakan laluan udara, laut dan perkhidmatan kurier bagi menyeludup dadah, namun taktik mereka berjaya dipatahkan hasil tindakan pantas pasukan penguat kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, serbuan pertama dilakukan pada 18 Februari kira-kira pukul 5 petang di Balai Ketibaan KLIA Terminal 2, pihak kastam berjaya menyita satu bagasi tidak dituntut yang mengandungi 8,138 gram dadah jenis Methamphetamine disorok dalam lapan kotak.

Beliau berkata, nilai anggaran sitaan tersebut berjumlah RM268,323.

“Dalam serbuan kedua pada 27 Februari, sepasukan anggota JKDM menyerbu kawasan Pasir Penambang, Kuala Selangor pada pukul 3 pagi dan berjaya menyita dua bungkusan plastik berisi dadah dipercayai untuk pasaran luar melalui laluan laut.

“Rampasan melibatkan 9,150 gram MDMA (ekstasi), 10,650 gram kokain dan 1,250 biji pil Erimin 5, dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM3,683,050,” katanya.

Selain itu, menurutnya, serbuan ketiga pula dilakukan pada 28 Februari, kira-kira pukul 1 tengah hari, di sebuah syarikat kurier di Sepang, Selangor.

“Pemeriksaan terhadap sebuah kotak kayu menemui 5,400 gram Methamphetamine bernilai RM172,800, dipercayai untuk dihantar ke luar negara melalui laluan udara.

“Sindiket itu semakin licik menggunakan pelbagai kaedah untuk mengaburi pihak berkuasa, namun JKDM sentiasa memperkukuh kawalan dan risikan bagi memastikan negara tidak menjadi transit kepada penyeludupan dadah antarabangsa,” katanya.

Menurutnya, semua kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sekurang-kurangnya 12 sebatan jika disabitkan kesalahan.

“JKDM menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan dadah dan barangan larangan seperti rokok, minuman keras serta mercun dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam terdekat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya