Begitu banyak kecaman demi kecaman diterima sutradara kontroversi, Erma Fatima, ketika karya garapannya yang berjudul Bidaah dan Keluarga Itu mula dipaparkan di kaca televisyen pada waktu ini.
Itu bermakna, sepanjang bulan Ramadan ini terdapat dua naskhah ‘berat’ berjalan seiringan untuk ditayangkan sekali gus mengisi masa peminat drama tempatan yang berlapangan menonton.
Ada banyak pertikaian muncul terutama apabila kedua-dua naskhah itu memaparkan babak-babak menyentuh sensitiviti agama Islam dan budaya masyarakat Melayu. Ini bukan sahaja tentang isu adegan janggut yang dilakonkan oleh pelakon senior, Faizal Hussein.
Tetapi, isu ini seakan merangkumi segala aspek yang kemudiannya membawa titik fokus kepada Erma Fatima itu sendiri sebagai subjek.
Ada yang melabel Erma sebagai seorang pengarah ‘gedik’ atau ‘gatal’ hanya kerana dia kreatif dan berani dalam menghasilkan sebuah naskhah bersifat kontroversi dan di luar nalar.
Mempunyai asbab tersendiri, Erma, meletakkan kepercayaan bahawa setiap drama yang dihasilkan termasuk dua naskhah ‘panas’ yang sedang ditayangkan di kaca tv kini sebenarnya berada dalam kategori diterima baik oleh penonton.
“Mereka yang tidak boleh terima itu, hanya segelintir sahaja. Kalau ia tidak diterima, tak mungkin ‘rating’ tinggi.
“Yang tak terima itu mungkin mereka yang sangat protektif terhadap agama, yang sangat menjaga adab-adab dalam agama termasuk mereka yang tidak menganggap seni itu sebagai subjektif.
“Bagi mereka, adab dalam agama itu lebih penting. Saya hormati prinsip dan teguran mereka sama ada agamawan, para ulama. Tetapi jika seorang ulama itu bertegur tanpa adab pun tiada gunanya juga,”katanya.
Mengulas lebih lanjut, kata Erma, dia bukanlah seorang individu yang tidak boleh menerima teguran kerana hakikatnya jika sesuatu perkara itu salah, ia tetap salah.
Namun, Erma tidak menolak entah mengapa apabila bidang hiburan cuba mengetengahkan naskhah dakwah dengan cara berbeza, ia seakan tidak diterima orang.
“Bukanlah dalam dunia hiburan ini seakan dilarang untuk berdakwah. Kita boleh berdakwah tetapi dengan batas-batas tertentu. Namun, saya tidak kategorikan diri saya sebagai seorang pengkarya kreatif yang tersepit.
“Saya masih boleh buat apa yang mahu dihasilkan kerana apa pun ia berbalik kepada niat saya. Nawaitu saya tidak menentang atau menjatuhkan agama Islam sebaliknya saya menentang penunggang agama Islam.
“Dan itu banyak. Kalau tanya semua orang, ada tak ajaran sesat dalam dunia realiti? Kalau jawapannya tidak ada, sayalah yang gila.
“Ada tak isu bapa rogol anak di luar? Ada. Jadi, maksudnya saya tak gila, saya masih waras dalam menghasilkan sesebuah cerita yang mana saya ada sebab musabab tentang apa yang hendak disampaikan kepada penonton,”tegasnya.
POSISI ANAK SENI
Tambah sutradara berusia 58 tahun ini lagi, antara sebab utama dia melakukan dakwah dengan cara ini kerana merasakan tanggungjawab dari posisi anak seni untuk menyuntik ‘teguran’ secara visual sebagai ubat kepada masyarakat.
“Hakikatnya, masyarakat kita ini semakin sakit. Kita mencari agama sedangkan kita tidak ada agama. Sebab itu kita tidak akan berjumpa guru yang betul. Ada ramai juga yang tanya, kenapa saya pakaikan pelakon itu dengan pakaian islamik.
“Kalau saya paparkan pelakon itu pakai seluar pendek atau jeans, belum tentu orang percaya. Orang yang bertopengkan syaitan ini, dia akan berusaha untuk meyakinkan kita sebaik-baiknya supaya kita taksub dan akur kepadanya.
“Jadi ia bukan tentang pakaian. Ia berkenaan ilmu dan akhlak. Saya sangat percaya Islam itu terletak pada ilmu dan akhlaknya,”katanya.
Menurut Erma lagi, dia juga sangat memahami mengapa ramai melenting dengan adegan sensual janggut yang dipaparkan dalam Bidaah.
“Saya faham, mungkin babak itu sangat sensitif kepada golongan agamawan kerana janggut itu sunnah Rasulullah. Tetapi, apabila kita buat skrip kita ada matlamat, sebagai contoh drama Keluarga Itu.
“Setiap hari kalau kita tengok di media sosial ada kes rogol yang menunjukkan jiwa masyarakat kita semakin sakit. Kita juga buka siaran tv akan ada sahaja kisah curang, penyondol.
“Soalan saya, bila masyarakat kita perlu dididik dengan segala macam masalah sosial yang wujud di dunia nyata? Kita tidak boleh mengharap mereka untuk semata-mata membaca,”katanya.