KUALA LUMPUR: Ketegasan dalam penguatkuasaan kepada pihak yang memainkan isu perkauman perlu dibuat dengan adil jika pihak berkuasa benar-benar komited dalam mengekalkan keharmonian negara.
Pengerusi Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA), Datuk Lukman Sheriff Alias berkata, pihaknya bimbang terhadap tindakan pihak berkuasa yang dilihat tidak konsisten dan adil dalam menangani isu penghinaan agama.
Katanya, pihak berkuasa diminta membuktikan komitmen terhadap keadilan dengan mengkaji semula kes-kes penghinaan agama terdahulu, terutamanya yang membabitkan penghinaan terhadap Islam, dan memastikan semua komuniti agama mendapat perlindungan yang sama di bawah undang-undang.
“Layanan berat sebelah ini tidak boleh diterima. Jika Malaysia benar-benar mahu menegakkan keharmonian agama, undang-undang mesti dikuatkuasakan secara adil.
“Kegagalan untuk berbuat demikian hanya akan memperdalam rasa tidak puas hati rakyat dan menghakis keyakinan terhadap negara,” ujar Lukman merujuk kepada insiden yang melibatkan tiga penyampai radio Era FM yang didakwa mempermainkan amalan agama Hindu.
Kenyataan dikeluarkan bersama Pengerusi Bersama MACSA, Prof. Dr. Rafidah Hanim Mokhtar dan turut disokong 63 pertubuhan-Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) lain yang turut menggesa pihak berkuasa agar bertindak tegas dan segera dalam kes-kes penghinaan agama.
Menurut MACSA, tindakan pantas pihak berkuasa terhadap penyampai radio Era FM telah menimbulkan persepsi bahawa penguatkuasaan undang-undang di negara ini bersifat selektif dan menyenaraikan beberapa kes penghinaan terhadap Islam yang dilihat tidak mendapat perhatian segera oleh pihak berkuasa.
Antaranya seorang juruteknik berusia 35 tahun, Chiok Wai Loong, dijatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM12,000 pada Mac 2024 kerana memuat naik kandungan yang menghina berkaitan stokin bertulisan ‘Allah’ yang walaupun kes tersebut menerima kecaman hebat dan banyak laporan polis dibuat, hukuman yang dijatuhkan dianggap terlalu ringan berbanding keseriusan kesalahan tersebut.
“Seorang lelaki berusia 40 tahun pula ditahan di Wangsa Maju pada Mei 2023 kerana didakwa menghina Islam dengan mempermainkan ucapan ‘salam’ dalam Islam menerusi video yang tular. Namun, siasatan terhadap kes ini mengambil masa yang lama dan tidak diberi keutamaan seperti kes-kes lain,” katanya.
MACSA turut menyebut kes Ricky Shane Cagampang, seorang perunding hartanah berusia 33 tahun yang dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM15,000 kerana membuat kenyataan menghina isu stokin ‘Allah’ di media sosial. Walaupun mahkamah mengakui keperluan untuk melindungi sensitiviti agama, hukuman yang dikenakan dianggap terlalu ringan.
Kenyataan melibatkan penghinaan terhadap Nabi Muhammad oleh Cecilia Yap dan Harith Iskander turut dibangkitkan dan mereka hanya dikenakan tindakan kompaun selepas laporan polis dibuat pada 21 Januari 2025, yang menunjukkan bahawa tindakan terhadap penghinaan agama Islam sering kali tertangguh.
Menurut MACSA, tindakan pantas pihak berkuasa terhadap penyampai radio Era FM telah menimbulkan persepsi bahawa penguatkuasaan undang-undang di negara ini bersifat selektif.
“Walaupun penghinaan terhadap agama Islam menimbulkan kemarahan dan kesedihan di kalangan umat Islam, tindakan pantas terhadap kes ini berbeza dengan kes-kes lain yang melibatkan agama Islam,” katanya.
Penggiat hiburan dan penyampai radio diingatkan untuk lebih berhati-hati dalam membuat jenaka agar tidak menggugat keharmonian antara agama dan kaum.
MACSA turut menyeru semua pihak untuk bertenang dan memberi ruang kepada pihak berkuasa menyelesaikan siasatan serta mengambil tindakan yang sewajarnya mengikut lunas undang-undang.-UTUSAN