KUALA LUMPUR: “Kalau saya khilaf dan membuat kesilapan, saya perlu minta maaf. Itu lebih baik.”
Demikian kata penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang mengakui dirinya tidak terkecuali untuk memohon maaf sekiranya melakukan kesilapan meskipun kini bergelar Biduanita Negara.
Menurut Siti, tidak salah untuk dia mengakui khilafnya selain enggan mencetuskan lagi pelbagai situasi berbangkit.
“Tidak perlu rasa segan. Perkara itu juga sudah reda. Saya sudah minta maaf. Bila sudah minta maaf, saya pasti orang faham khilaf kita,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Siti berkata demikian susulan tindakannya memuat naik produk nikotin tanpa periksa pada Februari lalu ketika ditemui di majlis perasmian Budaya Raya, malam tadi.
Kata Siti, perkongsian itu juga telah dimuat naik secara spontan dengan niat mahu menunjukkan sokongan terhadap kemajuan anak-anaknya dalam bidang perniagaan.
“Perkongsian tersebut saya muat naik secara santai kerana melihat perkembangan perniagaan anak-anak.
“Mereka juga sedang dalam proses untuk mendapatkan kelulusan. Saya harap apa pun yang dilakukan oleh anak-anak dapat memberi manfaat kepada masyarakat,” jelasnya.
Difahamkan, produk nikotin yang dipromosikan oleh Siti sebelum ini merupakan perniagaan yang dijalankan oleh anak tirinya, Aazief Khalid. -UTUSAN