Jawatankuasa ditubuh buat semakan, kajian pembaharuan Akta Kanun Keseksaan

Jawatankuasa ditubuh buat semakan, kajian pembaharuan Akta Kanun Keseksaan

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri menubuhkan Jawatankuasa Semakan dan Kajian Pembaharuan Kanun Keseksaan [Akta 574], Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593] dan Akta Keterangan [Akta 56].

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, penubuhan Jawatankuasa itu adalah satu langkah strategik untuk memastikan sistem perundangan jenayah kekal relevan, berkesan dan berteraskan keadilan dalam menghadapi cabaran semasa, terutamanya berkaitan perkembangan teknologi dan perubahan sosial.

Jelasnya, sistem keadilan jenayah yang kukuh dan sejajar dengan keperluan semasa amat penting dalam memastikan hak asasi individu terpelihara serta memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap sistem perundangan negara.

“Jawatankuasa ini akan menjalankan kajian terperinci untuk mengenal pasti peruntukan dalam Kanun Keseksaan, Kanun Tatacara Jenayah dan Akta Keterangan yang lapuk atau tidak lagi sesuai dengan realiti semasa dan selanjutnya mencadangkan pembaharuan kepada undang-undang tersebut.

“Selain itu, Jawatankuasa ini akan mengkaji dan mencadangkan pembaharuan undang-undang untuk meningkatkan kecekapan sistem keadilan jenayah bagi memastikan perbicaraan yang adil dapat dijalankan. Kajian ini dijangka dilaksanakan dalam tempoh 18 bulan melalui tiga fasa yang telah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagi memperkukuh kajian itu, Azalina berkata, satu Jawatankuasa Ad Hoc turut dibentuk, terdiri daripada pakar-pakar dalam bidang perundangan, penguatkuasaan, teknologi dan masyarakat sivil.

Katanya, Jawatankuasa Ad Hoc itu akan memberi input teknikal dan strategik dari semasa ke semasa untuk memastikan setiap cadangan adalah menyeluruh dan sejajar dengan keperluan semasa.

“Penubuhan Jawatankuasa dan Jawatankuasa Ad Hoc ini mencerminkan komitmen Kerajaan Madani untuk memastikan sistem perundangan jenayah negara terus maju dan mampu menangani cabaran baharu.

“Hasil kajian dan cadangan yang bakal dikemukakan akan menjadi asas penting dalam memperkukuh prinsip kedaulatan undang-undang, meningkatkan kecekapan penguatkuasaan dan menjamin hak asasi individu dalam sistem keadilan jenayah di Malaysia.

“Kerajaan percaya melalui pembaharuan yang holistik dan menyeluruh, sistem keadilan jenayah negara akan menjadi lebih responsif, adil dan berkesan dalam memenuhi keperluan masyarakat yang semakin berkembang,” katanya.

Jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Datuk Harmindar Singh Dhaliwal serta dibantu oleh Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Ravinthran N. Paramaguru sebagai Timbalan Pengerusi.

Ia turut dibantu oleh 20 ahli jawatankuasa yang terdiri daripada pengamal dan pakar undang-undang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya