PUTRAJAYA: Tun Dr. Mahathir Mohamad menegur segelintir pihak yang meminta Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos memohon maaf kepada bekas Perdana Menteri itu.
Jamal ketika ini sedang dirawat di hospital akibat sakit kanser paru-paru dan kini telah merebak ke otak.
Dr. Mahathir berkata, semua pihak sepatutnya tidak perlu mengungkit kisah lama kepada saudara se-Islam ketika sedang menghadapi kesukaran.
“Saya terbaca ada yang menyuruh Datuk Jamal meminta maaf kepada saya kerana kata-kata yang tidak wajar dilemparkannya terhadap saya dahulu semasa saya sedang menentang Umno kerana kes 1MDB.
“Bagi saya tidak perlulah mengungkit perkara itu kepada saudara se-Islam kita yang sedang menghadapi kesukaran. Sebaliknya saya rasa perlu kita doakan semoga Datuk Jamal kembali sembuh dan sihat seperti sedia kala,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada masa sama, Dr. Mahathir turut mengambil kesempatan untuk memohon maaf kepada Jamal jika ada kesilapan dan kesalahan saya terhadapnya.
Kesihatan Jamal kini sedang dirawat di sebuah hospital swasta di Ampang. Beliau beberapa kali dimasukkan ke hospital bagi menerima rawatan untuk kanser paru-paru tahap empat.
Kesihatan beliau merosot sejak September 2022, menyebabkan beliau berada dalam keadaan lemah dan kehilangan berat badan.
Jamal antara pengkritik keras Mahathir ketika beliau masih bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan menjadi Perdana Menteri kali kedua pada 2018. – UTUSAN