BANGI: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran kepada mana-mana pimpinan parti dan masyarakat supaya tidak menunggang isu agama demi kepentingan peribadi.
Perdana Menteri berkata, beliau juga mahu mana-mana pihak supaya tidak menjadikan isu agama bagi manfaat politik masing-masing.
“Pimpinan mana-mana parti ataupun pimpinan masyarakat, janganlah tunggang isu ini untuk kepentingan peribadi.
“Kerana kalau kita teruskan, ia akan membawa, membakar dan musnahkan rakyat,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Teras Jernang, di sini hari ini.
Katanya, beliau mahu supaya semua pihak menghormati bulan Ramadan yang mulia ini.
Anwar berkata, setiap isu berkaitan agama akan diselesaikan mengikut undang-undang.
Menurutnya, kerajaan tentunya akan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa sahaja yang menghina agama apatah lagi Malaysia yang hidup dalam pelbagai agama dan kaum.
“Islam adalah agama Persekutuan dan kita harus martabatkan selain menjaga keharmoniannya.
“Jadi saya hendak nasihat dan memberi pandangan supaya jangan gunakan ini sebagai senjata politik kerana ia akan membakar diri,” katanya.
Sebelum ini, timbul beberapa isu dan ketegangan agama dilaporkan di dada akhbar termasuk kes membabitkan penyampai radio dan beberapa kes serta kandungan tular mengenai penghinaan terhadap agama Islam.
Malah, sebelum ini juga, Anwar mengingatkan kepada rakyat supaya tidak mengambil kesempatan untuk membakar dan mengapi-apikan sentimen perkauman dan menanam bibit kebencian di negara ini.
Sementara itu, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang sebelum ini, memberi amaran keras kepada semua pihak agar tidak mengulangi perbuatan menyebarkan kenyataan berbentuk provokasi, penghinaan dan mempersendakan agama di platform media sosial.
“Saya memohon Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) segera mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu yang terlibat dalam penyebaran kandungan tidak bertanggungjawab ini,” katanya.-UTUSAN