PETALING JAYA: Pelakon, Mona Allen meluahkan rasa kurang senang dengan sikap sesetengah pihak yang suka menjaja perihal rumah tangga kepada umum.
Tidak memetik nama mana-mana individu, Mona menegaskan isu rumah tangga sepatutnya disimpan secara peribadi dan bukan perkara yang boleh dijadikan sebagai konten untuk meraih simpati ramai.
Pelakon Mona Allen menegur tindakan segelintir pihak yang secara terbuka berkongsi perihal rumah tangga mereka pada khalayak.
“Dah jumpa bakal madu, izinkan suami kahwin dua. Nak tolong pinangkan, ya ampun. Tolonglah jangan normalisasikan benda ni boleh?
“Urusan rumah tangga, tolong simpan dalam rumah tangga,” katanya menerusi sebuah hantaran di Instagram, baru-baru ini.
Dalam perkongsian sama, pelakon itu turut menasihatkan agar setiap individu yang sudah berkahwin belajar untuk tidak meuar-uarkan perihal ‘dalam kain’ kepada masyarakat.
“Tak kisahlah nak pinangkan madu ke, madu ketiga atau keempat. Simpan rahsia-rahsia rumah tangga boleh tak? Tolong belajar untuk tidak bercakap tentang rumah tangga dekat umum,” katanya.
Untuk info, Mona telah berkahwin dengan pelakon, Pekin Ibrahim pada 7 Disember 2018.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata lelaki iaitu Petra Pekin dan Persia Pekin.