Jangan hukum diri kita yang dulu – Wilma Muhammad

Jangan hukum diri kita yang dulu – Wilma Muhammad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ERA 90-an menyaksikan kemunculan pelakon,Wilma Mohammad, 51, yang dahulunya cukup sinonim dengan imej seksi dan berani. Aktres ini juga pernah menjadi buah mulut masyarakat gara-gara watak Natasha, seorang ‘penyondol’ yang dilakonkannya dalam filem pecah panggung, Pasrah arahan Datuk Yusof Haslam.

Pasrah merupakan antara naskhah akhir bagi Wilma sebelum pelakon ini mengumumkan pengundurannya daripada dunia perfileman untuk memberi tumpuan kepada perkahwinan yang dibina bersama bekas suami, arwah Mahir Effendi.

Lebih 13 tahun Wilma meninggalkan dunia glamornya. Dan sepanjang tempoh itu jugalah ibu kepada lima cahaya mata ini menjalani proses penghijrahan yang bersifat abadi. Imej Muslimah yang ditunjukkan Wilma pada hari ini adalah hasil jentikan hati, hadiah dari Tuhan yang memiliki jiwa setiap makhluk ciptaannya.

Siapa sangka, Wilma yang ketika usia remajanya seorang perempuan berimej ranggi, kini bertukar menjadi Muslimah yang sejati.

“Ketika usia muda dulu, saya langsung tidak memikirkan soal akhirat. Bagi yang mengenali saya, mereka tahu, saya ini dulu tidak akan sesekali memakai hijab.

“Tapi, jentikan jiwa itu Tuhan campakkan dalam sekelip mata. Bertitik tolak ketika saya menziarahi kubur keluarga sebelah suami dengan hanya mengenakan selendang untuk menutup rambut. Selepas itu, entah kenapa saya merasakan diri saya ini hipokrit, sekejap pakai tudung, sekejap tidak.

“Ketika pertama kali saya memutuskan untuk sepenuhnya bertudung, saya tidak lagi menoleh kebelakang. Ketika itu saya benar-benar mahu berubah atas kehendak diri sendiri, bukan kerana orang lain,” katanya.
Meskipun kini bertutup litup, Wilma tidak pernah menghukum sejarah lampaunya. Bagi pelakon yang masih cantik pada usia setengah abad ini, imej seksi yang dahulu cukup sinonim dengan dirinya hanyalah perkara lalu yang sudah terlalu jauh ditinggalkan.

Baginya, tiada istilah menyesali perkara lama kerana apa yang dilalui sebelum ini adalah proses kehidupan. Apa yang diharapkan seorang Wilma adalah pengakhiran husnul khotimah.

“Kalau ada yang bertanya, adakah saya malu apabila melihat semula imej dalam majalah atau filem lakonan saya yang dahulu? Saya hanya mampu beristighfar sahaja.

“Itu adalah coretan hidup lampau saya. Ia sebahagian proses hidup. Tak guna saya terlalu menyesalinya dan jangan sesekali kita menghukum dan memandang negatif sejarah hidup kita.

Yang penting adalah pengakhiran kita. Yang sudah berlaku, biarkan berlalu. Yang perlu kita takuti macam mana penghujung usia kita.

“Saya ketika awal berhijrah dulu, pernah terfikir, macam manalah keadaan saya kalau masih tersepit dalam kejahilan dan tidak sempat bertaubat. Sebab itu saya sangat bersyukur kerana Allah pinjamkan usia dan mengubah kehidupan saya kepada yang lebih baik. Sekarang ini yang selalu saya doakan adalah pengakhiran yang baik,” ceritanya.

SAMBUT SYAWAL DALAM KESEDERHANAAN
Sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri Wilma sekeluarga tetap meriah meskipun dalam bersederhana.

Kata Wilma, dia mendidik anak-anak agar tidak membazir dan berbelanja mengikut keperluan, bukan menuruti kehendak dan nafsu.

“Saya miliki banyak baju untuk dipakai ketika Hari Raya nanti. Jadi saya tidak akan membeli pakaian baru. Anak-anak pun nasihatkan agar saya tidak membazir.

“Anak-anak saya juga berpada-pada dalam berbelanja sempena Syawal ini. Mereka bijak menempah pakaian murah secara dalam talian.

“Cuma anak lelaki mungkin sedikit sukar kerana kebanyakan baju Melayu yang dijual dipasaran harganya masih dalam kategori mahal. Memang tidak akan jumpa baju Melayu yang harganya RM50 dan ke bawah,” kongsinya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya