ALOR GAJAH: Semua pihak diingatkan supaya tidak menjadikan isu agama untuk merosakkan keharmonian yang telah lama terbina di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, bagi pihak kerajaan, komitmen sentiasa diberikan supaya keharmonian beragama terpelihara seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, semua parti dalam Kerajaan Perpaduan mendukung agenda ini termasuk mempertahankan agama Islam.
Oleh itu kata beliau, tidak timbul isu kononnya pihak berkuasa tidak mengambil tindakan sewajarnya dalam mempertahankan kesucian Islam.
“Kerajaan berpegang kepada perkara-perkara yang termaktub dalam Perlembagaan, malah parti-parti dalam kerajaan juga mendukung prinsip ini.
“Apa pun agama yang diamalkan oleh rakyat negara ini, kita harus menghormatinya. Dalam al-Quran sendiri telah menyebut bahawa kita mesti menghormati agama lain agar agama lain menghormati agama kita.
“Kita tidak mahu mana-mana individu atau kumpulan, sama ada beraliran kanan atau kiri, menggunakan isu agama untuk merosakkan keharmonian,” katanya ketika ditemui pada Majlis Santunan Kasih Ramadan Peringkat Zon Selatan 2025 di Masjid Ar Rahman, Masjid Tanah di sini, kelmarin.
Beliau mengulas isu melibatkan tiga penyampai radio yang didakwa mempersendakan agama Hindu. Ia mendapat perhatian ramai dan mencetuskan perdebatan dalam media sosial.
Tambah Ahmad Zahid, isu berkaitan agama yang semakin hangat diperkatakan mutakhir ini perlu ditangani dengan bijaksana bagi mengelakkan sebarang ketegangan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia.
Jelasnya, isu agama adalah perkara sensitif yang tidak boleh dipermainkan, apatah lagi dijadikan modal untuk menimbulkan ketegangan politik atau sosial. – UTUSAN