BAGAN SERAI: Perdana Menteri mengingatkan pemimpin negara agar tidak mencuri wang rakyat yang bukan hak mereka dan menyimpannya di rumah.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau sendiri tidak mahu mengambil gaji kerana mahu menunjukkan kepada rakyat tidak semua menteri kerajaan mencuri wang.
“Saya tak ambil gaji sebab apa? Saya nak tunjukkan bahawa bukan semua menteri curi duit, itu hak orang, kalau orang ambil gaji itu haknya tapi jangan curi dan simpan di rumah-rumah lain.
“Tidak boleh jadi pendana menteri atau jadi menteri kewangan kerjanya nak kayakan diri, ini tak boleh. Kalau tidak negeri ini rosak, jadi kita kena betulkan,” katanya.
Beliau berucap pada Majlis Berbuka Puasa Madani Peringkat Negeri Perak di Sekolah Kebangsaan Dato’ Alauddin, Selinsing di sini hari ini.
Anwar berkata, kerajaan tidak mahu melayan kritikan kononnya tidak berbuat apa-apa untuk pembangunan rakyat.
Katanya, sedangkan kerajaan telah melaksanakan pelbagai projek pembangunan yang terbukti memberi manfaat kepada rakyat termasuk menaikkan gaji penjawat awam.
“Sebaiknya tak payahlah balas (kritikan) sangat. Kadang-kadang saya tengok dalam laporan politik, di Parlimen, macam-macam (kritikan) sampai berlebih-lebih memaki hamun dan membawa perpecahan dan pergaduhan.
“Saya tak ada masalah nak beza pendapat. Tak semua saya yang saya buat betul. Saya boleh ditegur, saya boleh dikritik tetapi tak payah hina, tak payah cerca,” katanya.
Sementara itu, Anwar menafikan beliau berdendam terhadap lawan politiknya sebaliknya menegaskan beliau sudah menjadi perdana menteri dan tiada sebab untuk bergaduh lagi.
“Sebagai perdana menteri, tanggungjawabnya ialah menjaga duit rakyat dan tidak mahu pemimpin mencuri dan ‘sakau’ wang rakyat,” katanya. – UTUSAN