TAPAH: Semua pihak diingatkan tidak melakukan sebarang provokasi yang boleh menyebabkan masyarakat merasa resah menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada 26 April ini.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, semua pihak perlu mematuhi Perlembagaan negara, mengikut undang-undang dan menghormati hak pengundi.
“Nasihat saya dan semua orang jangan buat provokasi melampau. Patuhi Perlembagaan negara, ikut undang-undang dan hormati hak pengundi. Jangan sekat pengundi, kurung pengundi dan bawa lari ic (kad pengenalan) pengundi biar pengundi memilih kerana itu hak mereka,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Program KPKM Inc. dan Riang Ria Raya Promosi Dan Jualan Produk Industri Asas Tani Jabatan Pertanian Perak 2025 di sini hari ini.
Akhbar ini semalam melaporkan UMNO Tapah menafikan pihaknya memasang kain rentang bertulis ‘Bebas Najib’ dan ‘Hormat Titah Adendum!’ yang dikesan di beberapa tempat di Ayer Kuning di sini.
Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Tapah, Syed Afzarizal Syed Salim berkata, walaupun kain rentang itu mempunyai lambang UMNO namun bukan parti itu yang melakukan perbuatan tersebut.
Berikutan itu, beliau membuat laporan polis berhubung pemasangan kain rentang itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah. – UTUSAN