KAJANG: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerahkan surat kebenaran untuk solat kepada Masjid Al-Falah di Kampung Sungai Ramal Dalam di sini, semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Masjid Al-Falah, Datuk Maulud A. Wahid berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah bekerjasama membangunkan masjid itu.
Katanya, masjid baru itu mampu menjadi mercu tanda kepada Kampung Sungai Ramal Dalam kerana reka bentuknya yang menarik setanding masjid di bandar.
“Kami mengambil masa hampir sembilan tahun untuk bangunkan masjid ini dari 2016 dengan menelan perbelanjaan hampir RM20 juta.
“80 peratus hasil pembangunan masjid ini adalah daripada sumbangan orang ramai dan kutipan yang dilakukan oleh pihak masjid sendiri.
“Selebihnya adalah daripada sumbangan kerajaan Persekutuan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ramai lagi,” katanya ketika ditemui di Majlis Penyerahan Surat Kebenaran Solat.
Turut hadir Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid JAIS, Hashim Mohamed.
Tambah Maulud, masjid itu boleh menampung sekitar 3000 hingga 4000 jemaah dalam satu-satu masa berbanding masjid lama sekitar 700 jemaah sahaja.
“Solat jemaah pertama masjid ini dilakukan pada Isyak semalam dan hari ini akan menjadi solat jumaat pertamanya juga,” katanya. – UTUSAN