Menjadi golongan yang berpengaruh seperti, menteri, agamawan, selebriti dan pempengaruh semestinya tidak mudah apatah lagi mereka mempunyai peranan yang berat untuk memberikan yang terbaik kepada masyarakat.
Bukan sekadar menjaga nama dan imej, golongan berpengaruh juga perlu menunjukkan sahsiah diri serta menjadi role-model yang baik memandangkan setiap perkara yang dipamerkan lebih mudah menjadi ikutan dan tumpuan ramai.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, golongan berpengaruh perlu menggunakan kelebihan mereka untuk menunjukkan teladan yang baik kepada masyarakat bagi melahirkan individu yang berakhlak mulia.
“Sebagai seorang yang berpengaruh, kita perlulah menunjukkan contoh dan teladan yang baik kepada masyarakat. Segalanya bermula dari diri kita sendiri untuk membawa masyarakat ke arah kebaikan.
“Selebriti, pempengaruh dan semua pihak yang ada pengikut yang ramai turut dinasihatkan untuk menjadi teladan yang baik supaya dapat membina masyarakat yang harmoni.
“Itulah pembinaan masyarakat madani yang diharapkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengulas mengenai kes khalwat yang melibatkan dua selebriti sensasi iaitu Aliff Aziz dan Ruhainies ketika ditemui di Majlis Pelancaran Program Ramadan Syawal TV AlHijrah 1446H/2025, baru-baru ini.
Peranan Media Massa
Selain golongan berpengaruh, stesen penyiaran juga merupakan medan dakwah yang penting untuk memaparkan kandungan-kandungan yang berkualiti demi meluaskan lagi usaha melahirkan masyarakat yang berbudi pekerti.
Mengangkat tema Ramadan: Merindui Taubat Hamba-Nya, stesen itu menyajikan program-program berkualiti yang mampu membimbing umat Islam ke arah kebaikan sepanjang bulan bermakna ini.
Dalam masa sama, Menteri Agama tersebut turut menegaskan stesen televisyen itu berupaya memastikan kefahaman Islam berkembang dengan meluas melalui pendekatan pendekatan media yang lebih kreatif dan moden.
“Melalui penyiaran Islam yang progresif dan interaktif, TV AlHijrah berupaya memastikan Islam terus mekar dan berkembang seiring dengan perubahan zaman.
“Kita mahu penyampaian dakwah ini bukan sahaja relevan dengan perkembangan teknologi, tetapi juga mampu menyentuh hati dan jiwa penonton,” tambahnya.
Selari dengan peredaran era digital, beliau turut menyeru agar stesen televisyen itu menggandakan usaha dalam menghasilkan produk serta program yang mempu menarik tumpuan penonton.
“Dalam realiti semasa ledakan media sosial termasuk Kecerdasan Buatan (AI), TV AlHijrah perlu menggandakan usaha untuk menghasilkan produk yang benar-benar mampu memikat rakyat agar terus kekal setia menonton TV Al-Hijrah.
“Ini kerana rakyat yakin kandungan penyiaran yang ditawarkan benar-benar ilmiah, menambah ilmu pengetahuan serta sahih. Ini adalah kekuatan yang mesti diperteguhkan oleh TV AlHijrah,” jelasnya.
Sementara itu, Mohd. Naim turut mengiktiraf pencapaian TV AlHijrah pada Ramadan tahun lalu serta memuji usaha mereka dalam menghasilkan kandungan Islamik berkualiti pada tahun ini.
Antara program yang bakal ditayangkan termasuk Peristiwa Wanita Akhir Zaman, yang membincangkan cabaran dan peristiwa melibatkan wanita dengan pendekatan interaktif.
Lebih menarik lagi, program Tadarus On The Go, menyemarakkan malam-malam Ramadan dengan alunan bacaan al-Quran, program ini mengajak penonton untuk bertadarus setiap malam dengan konsep Satu Hari Satu Juzuk selain dapat berinteraksi dengan qari pilihan menerusi aplikasi Zoom.
Program Jalan Taubat yang ditayangkan setiap Isnin hingga Jumaat turut mengajak penonton muhasabah yang mengetengahkan perjalanan rohani individu dalam mencari keampunan dan hidayah.
Selain itu, TV AlHijrah turut menyajikan pelbagai program khas lain seperti Qalbun Saleem, Cinta Ilmu Istimewa Ramadan, dan Khatam Ramadan 1446H untuk menghidupkan roh Ramadan dan Syawal menerusi tema Syawal: Istiqamah Cahaya Ketakwaan.