TAPAH: Isu Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur tidak menjejaskan undi terutama kaum India kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan percaya jika isu tersebut tidak disuarakan, impaknya akan lebih besar sehingga boleh menjejaskan kepercayaan kaum India terhadap calon parti kerajaan.
“Kita bagi mereka reda (tenang). Saya rasa kita lihat banyak komen daripada masyarakat India. Mereka yakin bahawa ada wakil bersuara dan percaya jaminan telah diberikan oleh kerajaan.
“Tidak akan terjejas (undi kaum India), tetapi kita meneliti dan engage (berhubung denga mereka dalam apa-apa isu),” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada program umbangan duit raya Aidilfitri kepada 1,029 pelajar tingkatan 5 dan 6 yang melibatkan 11 buah sekolah menengah di Parlimen Tapah di sini hari ini.
Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah berkata, masyarakat India di negara ini tetap yakin dengan kerajaan yang akan melakukan terbaik bagi rakyat negara ini tanpa mengira identiti kaum.
“Kita menyokong penuh kepimpinan, kepercayaan dan keyakinan pada kerajaan akan buat yang terbaik untuk warga Malaysia tanpa mengira kaum.
“Kita hormat negara ini Islam sebagai agama rasmi dan majoritinya orang Islam. Kita akur keputusan dan jaminan diberikan kerajaan. Tidak perlu risau,” katanya.
Media melaporkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan semua pihak supaya tidak cuba menjadi ‘jaguh’ dalam isu penempatan semula Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India itu.
Perdana Menteri berkata, isu berkenaan telah dirundingkan selama bertahun-tahun dan bukan rundingan baharu.
Anwar berharap supaya tidak perlu ada respon yang kurang wajar termasuk daripada kalangan masyarakat mengenai isu itu dan berharap ia dapat ditangani dengan baik.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
Pada PRU15, Ishsam mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan 2,213 majoriti undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon PRK itu 12 April, hari pengundian awal ditetapkan pada 22 April dan hari pengundian pada 26 April depan yang melibatkan 31,897 pemilih dengan peruntukan kos kira-kira RM2.5 juta.
Kerusi DUN Ayer Kuning menjadi kubu kuat BN sejak lapan penggal lalu. – UTUSAN