SEPANG: Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan semua pihak supaya tidak cuba menjadi ‘jaguh’ dalam isu penempatan semula Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.
Perdana Menteri berkata, isu berkenaan telah dirundingkan selama bertahun-tahun dan bukan rundingan baharu.
Menurutnya, beliau berharap supaya tidak perlu ada respon yang kurang wajar termasuk daripada kalangan masyarakat mengenai isu itu dan berharap ia dapat tangani dengan baik.
“Masalahnya ada penunggang-penunggang agama termasuk peguam-peguam yang tidak pernah terlibat dalam kegiatan agama terus jadi jaguh dan buat kenyataan umpamanya nak merobohkan (kuil berkenaan).
“Saya tidak boleh bayangkan saya sebagai Perdana Menteri merobohkan mana-mana kuil ataupun kegiatan agama orang lain.
“Adalah (perlu) cari jalan baik supaya mereka mendapat tapak yang sah dan diiktiraf dan mudah-mudahan diselesaikan dengan baik,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Abdul Samad, KLIA di sini hari ini.
Katanya, masjid akan terus dibina, manakala kuil akan disediakan di tapak lain.
Anwar berkata, tanah itu bukan tanah kerajaan walaupun asalnya tanah Dewan Bandar Raya (Kuala Lumpur) tapi itu tidak bermakna tanah kerajaan di mana-mana pun boleh digunakan tanpa kelulusan.
Sebelum ini, bekas presiden Badan Peguam Malaysia Ambiga Sreenevasan dan kumpulan hak asasi manusia, Lawyers for Liberty (LFL) mengadakan sidang akhbar berhubung rancangan perobohan kuil Hindu yang bersejarah bagi memberi laluan kepada pembinaan masjid.
Peguam yang mewakili jawatankuasa Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman membayangkan DBKL terlibat lebih banyak dalam isu tapak kuil tersebut.
N Surendran, yang juga pengasas bersama Lawyers for Liberty berkata, DBKL seolah-olah mencadangkan kerajaan tiada kaitan, memandangkan tanah tersebut milik persendirian.
DBKL sebelum ini dilaporkan memberi komitmen tidak akan melakukan sebarang aktiviti perobohan ke atas kuil berkenaan.
Dalam satu kenyataan, DBKL sebaliknya berkata pemindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman akan dilaksanakan secara telus, adil dan membabitkan perbincangan dengan pihak berkepentingan bagi memastikan kelancaran pelaksanaannya. – UTUSAN