KULAI: Isteri maut, manakala suami dan dua anak termasuk bayi berusia empat bulan cedera apabila Perodua Axia dinaiki mereka terbabas lalu terbalik di Kilometer 39.9, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, pihaknya dimaklumkan tentang kemalangan itu pada pukul 5.30 petang.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan tersebut melanggar sebuah Proton Persona dipandu seorang lelaki berusia 32 tahun yang berada di lorong kanan.
“Pelanggaran itu menyebabkan Perodua Axia tersebut terbabas lalu terbalik di lorong kecemasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Wanita yang maut berusia 29 tahun, manakala suaminya berusia 30 tahun serta dua anak mereka berusia 4 tahun dan empat bulan mengalami kecederaan.
“Kesemua mangsa telah dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut,” katanya sambil memberitahu kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN