SEPANG: Isteri pelawak Along Cham, Afreena Suhaimi, enggan memberi komen berkenaan dakwaan berlaku siri penipuan sepanjang perkahwinannya dengan suami.
Bagaimanapun, dia berpendapat sudah menjadi lumrah untuk pasangan suami isteri melalui pasang surut berumah tangga.
“Penipuan macam mana? Saya tidak mahu bukan aib. Tentang itu saya tiada komen mahu beri.
“Rumah tangga ada huru haranya walau dua bulan kahwin sudah dilafazkan talak diluar mahkamah.
“Cuma lafaz taklik bukanlah sesuatu yang aib bagi saya. Lagipula ia melibatkan pihak ketiga dan keempat. Saya tidak akan bercerita tentang itu,” katanya.
Afreena mengulas dakwaan Along Cham mengatakan berlaku penipuan yang kerap sepanjang berkahwin.
Ditanya adakah wanita itu pernah berasa bahagia dalam usia perkahwinan yang sekejap, Afreena atau Feena menganggap apa yang berlaku sudah ditakdirkan Allah.
“Bahagia sangat subjektif kalau kedua-duanya bersatu hati. Mungkin ini adalah takdir kami, tiada siapa minta ia (cerai) terjadi.
“Apa yang saya belajar daripada perkahwinan ini ialah keikhlasan. Masing-masing boleh buat kesilapan.
“Normal dalam rumah tangga untuk belajar dan cintai diri sendiri. Sayang diri sendiri sebelum orang lain,” jelasnya.
Sebelum ini Along mendakwa sudah memberi banyak peluang kepada Afreena Suhaimi walaupun sudah berkali-kali berlaku penipuan.
Terdahulu, hakim Muhamad Nazri Basrawi memutuskan 8 Mei depan sebagai tarikh perbicaraan baharu bagi pengesahan lafaz cerai yang dibuat Along atau Muhammad Nizamuddin Ahmad tidak lengkap.
Penangguhan tersebut dibuat selepas dokumen yang dilampirkan Along tidak lengkap.
Along dan Afreena berkahwin pada 4 April 2024. -UTUSAN