PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil semula bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk dirakam percakapan pada Rabu ini sebagai suspek dalam kes rasuah dan pengubahan wang haram.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, bagaimanapun, proses rakaman percakapan yang akan dijalankan adalah bergantung kepada tahap kesihatan Ahli Parlimen Bera itu.
“Ekoran daripada itu SPRM akan mengambil rakaman percakapan semula atau pun tambahan daripada Datuk Seri Ismail Sabri bergantung kepada tahap kesihatan beliau.
“Dan dijangka rakaman percakapan ini akan dibuat pada hari Rabu minggu ini iaitu selang satu hari daripada sekarang.
“Rakaman percakapan akan berkisar daripada pengisytiharan harta beliau dan juga berhubung kes yang sedang disiasat sekarang ini,” katanya menerusi sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.
Katanya lagi, setakat ini seramai 31 saksi telah pun dirakam percakapan mereka berhubung kes tersebut.
“Untuk makluman, beberapa orang saksi telah pun dipanggil untuk dirakam percakapan namun kita masih ada lagi lebih kurang dalam tujuh atau lapan saksi untuk dipanggil memberi keterangan dalam tempoh minggu ini dan mungkin berlanjutan pada minggu akan datang,” katanya.
Ditanya berkenaan bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Ismail Sabri iaitu Datuk Nazimah Hashim, Azam menjelaskan bahawa percakapan beliau juga telah dirakam oleh SPRM.
“Setakat ini percakapan beliau telah pun diambil dan tidak pernah lagi kita terpaksa memanggil beliau dari luar negara, dia berada dalam negara ini,” ujarnya.
Semalam, media melaporkan, SPRM mengesahkan Ismail Sabri kini disiasat pihaknya berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram.
SPRM dalam kenyataan berkata, fokus siasatan tertumpu kepada perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti semasa ahli Parlimen Bera itu ketika menerajui kerajaan.
Ismail Sabri juga telah hadir ke pejabat SPRM untuk memberikan keterangan pada 19 Februari lalu.
SPRM turut mengesahkan rampasan wang tunai RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing termasuk Baht, Riyal, Pound Sterling, Won, Euro, Swiss Franc dan Yuan, serta menyita 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai RM7 juta ketika penggeledahan di sebuah kediaman dan tiga buah pejabat yang dipercayai dijadikan sebagai ‘safehouse’.