PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, berhubung dakwaan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengannya.
Beliau dilihat keluar dari pekarangan SPRM selepas lebih lima jam dirakam keterangan berkait kes terbabit.
Kenderaan berwarna gelap yang membawa ahli Parlimen Bera itu keluar kira-kira pukul 3.13 petang dan beliau sempat melambai kepada wartawan yang menunggu di luar sejak pagi tadi.
Bagaimanapun, cubaan media untuk mendapatkan komen daripada beliau gagal.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi memaklumkan, Ismail Sabri akan menyambung memberi keterangan beliau pada pukul 9 pagi, esok.
“Ya, esok pukul 9 pagi,” katanya.
Terdahulu, Ismail Sabri tiba di Ibu Pejabat SPRM kira-kira pukul 9.46 pagi tadi dengan diiringi polis pengiring.
Kelmarin, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan pemimpin itu akan memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada Khamis.
Media sebelum ini melaporkan Ismail Sabri sudah memberi keterangan kepada pegawai penyiasat selama kira-kira lima jam, sehari selepas beliau membuat pengisytiharan harta pada 10 Februari lalu.
Beberapa hari kemudian, empat individu termasuk dua bekas pegawai kanannya ditahan SPRM untuk siasatan lanjut.
Ia kemudiannya membawa kepada serbuan di tiga premis dengan penemuan wang tunai pelbagai negara berjumlah RM170 juta dan 16 jongkong emas bernilai RM7 juta di sebuah kondominium yang didakwa sebagai ‘safe house’.
Sebelum ini, Azam mengesahkan Ismail Sabri bukan lagi saksi dalam siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram, sebaliknya adalah seorang suspek dalam kes berkenaan. – UTUSAN