MARANG: Adik kepada seorang anggota bomba yang terkorban dalam tragedi enam penyelam Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) lemas pada Oktober 2018, mengikut jejak arwah abangnya bergelar anggota bomba dan penyelamat.
Intan Nor Hapiza Wan Ibrahim, 25, antara 207 pelatih yang menamatkan Kursus Sijil Sains Kebombaan (KSSK) Siri 2 Tahun 2024 di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Wakaf Tapai, di sini, semalam.
Katanya, walaupun kehilangan abang, Izatul Akma semasa sedang bertugas, ia tidak pernah melunturkan impiannya untuk menceburi kerjaya dan menyarung uniform pasukan bomba.
“Sewaktu tragedi tersebut saya berusia 18 tahun. Meskipun sedih dengan kejadian berlaku, sebagai adik saya turut rasa bangga kerana abang pergi ketika bertugas, berusaha membantu dan mencari mangsa lemas.
“Saya memang minat pasukan bomba namun tidak berpeluang sertai kadet bomba di sekolah menengah. Di sebalik tragedi menimpa arwah abang, semangat saya berkobar-kobar untuk bertugas demi negara dan berbakti kepada masyarakat sepertinya.
“Pelbagai kerjaya jabatan beruniform juga dimohon sebelum ini sehingga akhirnya rezeki saya di sini. Impian bergelar Sang Wira Merah tercapai sekal igus mengikut jejak arwah abang yang menjadi sumber inspirasi saya,” katanya ketika ditemui selepas tamat majlis. – UTUSAN