PETALING JAYA: Insiden seorang warga emas menampar lelaki Cina berkali-kali kerana makan di bulan Ramadan di sebuah pusat beli-belah di Johor Bahru adalah satu provokasi yang tidak mencerminkan semangat perpaduan dan keharmonian berbilang kaum di negara ini.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang menegaskan tindakan sedemikian harus dihentikan serta-merta dan tidak dibenarkan berkembang di negara yang menjunjung tinggi prinsip Rukun Negara.
“Saya juga mengutuk keras sebarang bentuk keganasan, diskriminasi dan sikap prejudis yang boleh merosakkan keharmonian antara kaum.
“Saya berharap agar semua rakyat Malaysia beradab dalam berinteraksi antara rakyat Malaysia, yang seharusnya sentiasa saling menghormati budaya dan mengamalkan nilai Faham, Hormat & Terima,” katanya menerusi ciapan dalam aplikasi X, hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, mangsa yang bernama Elijah telah membuat laporan di Balai Polis Tampoi mengenai insiden itu.
“Saya dimaklumkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyiasat kes ini di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
“Saya berharap agar semua pihak memberi kerjasama dan menyerahkan sepenuhnya kepada PDRM untuk menjalankan siasatan,” katanya.
Aaron Ago berkata, isu-isu yang menyentuh soal perpaduan tidak boleh dipandang remeh serta membiarkan sebarang insiden yang boleh meruntuhkan keharmonian rakyat Malaysia.
“Negara ini hanya akan maju jika kita bersatu, saling menghormati dan hidup dalam keadaan aman tanpa sebarang bentuk ketegangan kaum atau agama,” katanya.
Sejak semalam, tular dalam aplikasi X rakaman video mengenai seorang warga emas lelaki yang berang dengan tindakan mangsa yang menikmati makanan di sebuah kedai serbaneka di pusat beli-belah di Johor Bahru.
Warga emas itu kemudian menyoal mangsa sama ada dirinya seorang Islam atau sebaliknya sebelum meminta untuk melihat kad pengenalan.
Mangsa kemudian didakwa ditampar beberapa kali selepas enggan menunjukkan kad pengenalannya kepada warga emas berkenaan. – UTUSAN