SHAH ALAM: Penyanyi, Syura, mengakui fobia selepas insiden tong gas meletup menyebabkan tubuh dan wajah suaminya, Muhd Farizat Ismail melecur.
Kejadian yang berlaku di sebuah rumah inap desa itu menjadikan dia dan suami lebih berhati-hati memeriksa ruangan dan pengaliran udara sebelum menyalakan dapur.
“Fobia masih ada, walau bukan saya yang kena letupan itu tapi saya berada di tempat kejadian. Suami apatah lagi, awal-awal dahulu dia sampai tidak boleh nyalakan dapur. Dia akan minta tolong pembantu buka api, barulah dia akan masak.
“Tapi insiden itu buat kami berhati-hati. Sebelum nyalakan dapur, kena periksa dahulu keadaan sekeliling terutama pengaliran udara.
“Kami ada juga beli dapur elektrik memang khas untuk suami. Tapi dia kata tidak puas memasak di situ dan suhu masak dengan dapur elektrik berbeza dengan dapur biasa,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Sementara itu, juara Master Chef musim kedua itu lega dengan keadaan suami yang semakin pulih.
Bagaimanapun, doktor menasihati suami yang juga seorang pengenali makanan untuk melindungi luka daripada terkena matahari.
“Kami bersyukur kulit muka suami yang melecur sudah terkopek sendiri dan nampak macam tiada apa-apa kesan. Mujur juga kami terima rawatan daripada doktor yang bagus.
“Cuma sepatutnya suami tidak boleh kena cahaya matahari langsung. Tapi memandangkan luka sudah semakin sembuh, ada ketikanya suami ‘derhaka’ cakap doktor.
“Tapi Alhamdulillah, sekarang banyak festival makanan dianjurkan pada waktu malam. Dia hanya keluar petang jika terpaksa. Berniaga adalah punca rezeki, mahu atau tidak terpaksa ‘derhaka’ sesekali,” ceritanya.
Berlapang dada dengan kejadian yang menimpa dia dan suami, Syura bagaimanapun tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap pemilik rumah inap desa berkenaan.
“Keluarga kami pun marah kerana kami tidak ambil apa-apa tindakan kepada pemilik rumah. Tapi bagi kami, kita pun tidak boleh nak salahkan seratus peratus punca letupan daripada mereka.
“Sebab ia terjadi di hari keempat kami di sana. Lagipula pemilik rumah itu datang melawat suami di hospital dan minta maaf. Bagi saya itu sudah cukup. Cuma kami ada minta refund sepanjang hari kami menginap di sana,” jelasnya.
Terdahulu, Syura memaklumkan suaminya menerima rawatan di hospital selepas melecur di bahagian muka, tangan dan kaki akibat tong gas di penginapan mereka meletup.
Selepas dua minggu di hospital, keadaan suami semakin pulih dan tidak perlu memakai pembalut wajah. -UTUSAN