Insentif khas pastikan bekalan segera minyak masak di pasaran

Insentif khas pastikan bekalan segera minyak masak di pasaran

ARMIZAN Mohd Ali ketika memberikan taklimat kepada Perdana Menteri berhubung situasi gangguan bekalan minyak masak di pasaran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

PUTRAJAYA: Kerajaan mempertimbangkan pemberian insentif khas kepada syarikat pembungkus minyak masak kemasan botol bagi memastikan pihak terlibat mengeluarkan bekalan minyak secara segera dalam pasaran.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, pertimbangan insentif itu merupakan antara langkah intervensi serta-merta menstabilkan bekalan minyak sawit kemasan botol di pasaran.

“Sehubungan itu, KPDN akan menyusul keputusan ini dengan mengarahkan syarikat pembungkus minyak masak kemasan botol mengembalikan pengeluaran pada kadar yang mencukupi untuk keperluan semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, KPDN memberikan taklimat khas kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung situasi gangguan bekalan minyak masak sawit tulen kemasan botol di pasaran.

Antara punca utama berlakunya gangguan bekalan itu adalah disebabkan kenaikan kos pengeluaran berikutan harga minyak sawit mentah dunia (CPO) di pasaran meningkat tinggi sejak dua tahun lalu.

Armizan berkata, bagi dua bulan pertama 2025 harga purata CPO adalah RM4,672 pada Januari dan RM4,759 pada Februari.

“Susulan daripada kesan harga tinggi CPO yang berlarutan, syarikat pembungkus minyak masak botol terpaksa mengambil pendekatan mengurangkan pengeluaran untuk mengawal kos pengeluaran.

“Ini kerana mereka terikat dengan perintah penjualan harga kawalan maksimum minyak kemasan botol yang berkuatkuasa,” jelasnya.

Katanya, sebagai contoh, perintah tersebut mewajibkan penjualan pada peringkat runcit minyak kemasan botol 5 kilogram ialah RM30.90 berbanding harga pasaran berdasarkan kadar CPO dunia iaitu RM36.16.

“Susulan daripada taklimat khas Perdana Menteri, diputuskan langkah intervensi segera perlu diambil untuk menstabilkan bekalan minyak masak kemasan botol di pasaran.

“KPDN juga sedang mempertingkatkan penguatkuasaan untuk memastikan tidak ada aktiviti penyorokan (hoarding) dan penyelewengan semua jenis bekalan minyak masak,” jelasnya.

Menurut Armizan, KPDN akan memastikan arahan dan keputusan itu dilaksanakan untuk memastikan syarikat terlibat mula meningkatkan semula kadar proses pengeluaran minyak kemasan botol masing-masing secara serta-merta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya