SEPANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup memperkenalkan insentif pendigitalan dalam bentuk e-dompet berjumlah RM9.36 juta bagi menggalakkan pengunjung bazar berbelanja tanpa tunai.
Timbalan Menterinya, Dr. Fuziah Salleh berkata, insentif itu akan dinikmati oleh peniaga serta pengunjung terpilih di bazar terlibat seluruh negara.
“Sebanyak 6,000 e-wallet akan diagihkan kepada peniaga dan pengunjung di mana masing akan menerima sejumlah RM100 bagi peniaga dan RM20 bagi pengunjung.
“Langkah itu bukan sahaja menggalakkan transaksi digital dalam kalangan penjaja kecil dan pengguna, malah mendidik masyarakat menuju ekonomi tanpa tunai secara menyeluruh,” katanya selepas melancarkan Bazar Ramadan Rahmah (BRR) Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.
Katanya, pada Inisiatif BRR merupakan salah satu komponen utama di bawah Program Payung Rahmah bertujuan mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.
Katanya, ia menerusi penyediaan pilihan juadah berbuka puasa pada harga murah dan berpatutan.
“Semua peniaga di bazar tersebut digalakkan menawarkan Menu Rahmah pada harga RM5 dan ke bawah sebagai pilihan tambahan dalam menu masing-masing.
“Ia demi memastikan golongan berpendapatan rendah mampu menikmati juadah berbuka puasa yang seimbang,” katanya.
Sejak pelaksanaan sulung BRR pada 27 Mac 2023, kerajaan telah memperluas program BRR dengan penambahan bilangan lokasi serta pemberian insentif tanpa tunai kepada peniaga dan pengunjung bazar.
Inisiatif pendigitalan menerusi Retail Digitalisation Initiative (ReDI) ini adalah usaha proaktif kerajaan agar peniaga kecil tidak ketinggalan dalam arus perdana ekonomi digital. – UTUSAN