PUTRAJAYA: Inisiatif pembayaran tanpa tunai (cashless) di Bazar Ramadan disambut baik kerana ia mengurangkan transaksi tunai dan mesra pengguna.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, inisiatif ini juga membolehkan penyedia perbankan menawarkan rebat dan diskaun.
“Jadi ini lebih baik, lebih mesra sebab kuranglah transaksi kewangan secara tunai.
“Saya difahamkan, ada tiga buah Bazar Ramadan di Putrajaya di mana ada yang dikendalikan Perbadanan Putrajaya (PPj), pihak swasta dan persatuan penduduk.
“Tapi, apa pun yang lebih utama, saya kira yang menarik kali ini ialah semua sistem bayaran di Bazar Ramadan di Putrajaya ini adalah menggunakan sistem cashless,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kod QR dan Bayar Cashless di Bazar Ramadan Presint 14, di sini, hari ini.
MAE bersama-sama Maybank Islamic dan Paynet telah menaja kanopi, apron dan topi kepada semua peniaga bazar Ramadan di Bazar Ramadan Presint 14, di sini.
MAE memberi promosi ‘cashback’ RM2 kepada pembeli yang membuat transaksi menggunakan kod QR MAE di mana mana peniaga di bazar Presint 14 dan 11, Bazar Ramadan Taman Melawati, Tasik Tambahan, AU2 dan Belatuk. – UTUSAN