HULU TERENGGANU: Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menangkap seorang lelaki yang dikehendaki polis berhubung kes pecah rumah, di sini semalam.
Pegawai APM Daerah Hulu Terengganu, Kapten (PA) Mohd. Zabri Abd. Razak berkata, suspek dicekup kira-kira pukul 8.45 malam setelah salah seorang anggota ternampak kelibatnya di kawasan sebuah rumah berdekatan pejabat pasukan itu.
“Anggota memaklumkan kepada anggota APM lain yang ketika itu sedang hendak solat tarawih di surau pejabat. Mereka mengepung kawasan rumah itu sehingga suspek ditangkap sebelum diserahkan kepada polis.
“Kelibat suspek dilihat anggota di kawasan rumah tersebut sebelum ini namun dia sempat loloskan diri,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, Ibu pejabat Polis Daerah(IPD) Hulu Terengganu menerusi laman sosial Facebook membuat hebahkan berhubung orang dikehendaki itu. – UTUSAN