Inap desa Perlis penuh ditempah sehingga selepas lebaran

Inap desa Perlis penuh ditempah sehingga selepas Aidilfitri

NURUL Azlie Adzame bersama kakitangannya membuat persiapan awal menghias inap desa dengan lampu hiasan dan pelita buluh bagi menyambut para tetamu menjelang Aidilfitri di Kampung Wang Ulu, Perlis. – Mingguan/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Menjelang Aidilfitri, tempahan di kebanyakan inap desa khususnya yang berlatarkan suasana kampung mulai penuh sehingga selepas lebaran.

Inap desa berlatarkan sawah menghijau dan bukit-bukau di ne­geri ini terus menjadi pilihan khususnya orang bandar yang ingin merasai pengalaman merai­kan sambutan Hari Raya Aidilfitri dalam suasana kampung.

Antaranya Inap Desa Kebun Harumanis Wan Pa di Kampung Wang Ulu di sini apabila tempahan sudah penuh dari 29 Mac sehingga dua minggu selepas Aidilfitri selain turut terdapat keluarga dari Australia memilih destinasi itu untuk beraya dalam suasana mendamaikan.

Pemilik inap desa berkenaan, Nurul Azlie Adzame, 43, berkata, pihaknya telah membuat persiapan awal bagi menyambut para tetamu dengan menghias kawasan inap desa tersebut melalui pemasangan pelita buluh, hiasan lampu dan beberapa tarikan menarik lain.

Katanya, kebanyakan pelanggan terdiri daripada keluarga yang menetap di bandar seperti Kuala Lumpur dan mereka memilih menginap di sini semata-mata bagi merasai sendiri suasana beraya di kampung.

“Enam unit inap desa yang disediakan di sini sudah mendapat tempahan sejak dari awal dan lebih istimewa terdapat sebuah keluarga yang menetap di Austra­lia juga cuba merasai pengalaman beraya dalam suasana kampung.

“Selain itu, terdapat juga dalam kalangan mereka yang menghimpunkan seluruh ahli keluarga yang menetap di pelbagai negeri seterusnya bersama meraikan lebaran di sini.

“Kebanyakan orang bandar ini memilih untuk merasai suasana kampung dan di sini sememang­nya kita akan menikmati suasana kampung selain keindahan bukit-bukau dan sawah padi yang menghijau,” katanya kepada Ming­guan Malaysia di sini, semalam.

Katanya, pihak inap desa juga bakal menyediakan hidangan kuih raya di bilik masing-masing sempena lebaran ini.

Harga ditawarkan di inap desa tersebut dari serendah RM165 hingga RM330 dengan unit rumah kayu tradisional di sini sentiasa menjadi antara pilihan.

“Inap desa dalam suasana kampung ini sentiasa menjadi pilihan setiap kali Aidilfitri. Tahun ini, kami menerima tempahan awal dan penuh sehingga selepas raya.

“Kebanyakan pelanggan juga selalunya pada pagi raya mereka akan pergi beraya di rumah keluarga dan kemudian pulang bermalam di inap desa. Cara ini, mereka pun boleh menjaga aurat antara saudara mara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya