Impian saya mahu ada galeri sendiri – Siti Nurhaliza - Utusan Malaysia

Impian saya mahu ada galeri sendiri – Siti Nurhaliza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sudah 30 tahun mencipta nama dalam persada muzik tanah air, pelbagai kejayaan dan pencapaian yang telah dikecapi oleh Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Bukan itu sahaja, setiap kejayaan yang diraih oleh penyanyi kelahiran Pahang tersebut sama ada di dalam negara, mahupun di peringkat antarabangsa pasti akan dijulang ramai kerana kagum dengan usahanya mengharumkan nama tanah air tercinta.

Menurut Siti, untuk menghargai momen itu, dia mempunyai impian untuk membuka galerinya sendiri agar dapat dirasai dan dipamerkan kepada peminat dengan lebih dekat.

“Sebenarnya impian saya mahu mengadakan galeri sendiri. Saya mahu buat secepat mungkin tetapi kita belum ada lokasi yang sesuai.

“Saya perlukan tempat yang besar untuk tempatkan momen-momen bermakna sepanjang 30 tahun dalam industri.

“Saya harap sangat saya dapat jumpa lokasi yang terbaik itu. Peminat boleh datang dan akan ada aktiviti juga nanti di galeri saya itu,” katanya.

Meskipun hasratnya belum kesampaian, penyanyi itu tidak mahu melepaskan peluang untuk mempamerkan busana, plak dan trofi yang mempunyai momen sentimental baginya.

Katanya, rugilah jika dia hanya menyimpan setiap kejayaannya itu di dalam almari kaca dan menjadi perhiasan. Maka tercetuslah idea untuk membuat pameran kecil di Pavilion Kuala Lumpur.

“Untuk permulaan, saya hanya menjalankan kolaborasi bersama Pavilion Kuala Lumpur. Di sana saya pamerkan sebanyak 20 busana termasuklah baju yang saya pakai ketika beraksi di pentas akhir Anugerah Juara Lagu (AJL), ketika Konsert Salam Terakhir Siti Nurhaliza Untukmu Sudirman dan konsert di Royal Albert Hall, London.

“Turut dipamerkan, trofi yang pernah dimenangi dalam anugerah besar dan plak diperoleh daripada syarikat rakaman hasil penjualan album.

“Saya memang minta busana yang dipamerkan itu hanya daripada momen-momen sentimental dalam kerjaya saya sebagai penyanyi,” jelasnya.

Tanda Penghargaan Buat Peminat
Dalam masa sama, penyanyi lagu Nadi tersebut mengakui setiap busana yang dipamerkan khas di pusat membeli belah terkenal itu mempunyai cerita dan sejarahnya tersendiri.

Kongsinya, busana songket berwarna oren yang pernah disarungnya ketika mempertaruhkan lagu Cindai di pentas AJL menjadi baju pertama yang disimpannya.

“Sewaktu awal penglibatan saya sekitar tahun 1995, saya tiada baju untuk disimpan. Kebanyakannya saya menyewa saja.

“Bermula daripada lagu Cindai sewaktu saya sertai AJL, saya mula menyimpan baju rekaan Datuk Radzuan Radziwill tersebut. Baju itu juga masih elok sehingga kini.

“Memang susah untuk cari semula baju-baju ini. Semuanya disimpan dengan rapi tapi di merata-rata tempat dan kediaman saya. Sebab itu juga timbul idea untuk saya pamerkan sebahagian daripadanya,”

Bagi Siti, pameran itu juga merupakan salah satu cara untuk dirinya memberikan penghargaan buat peminatnya yang sentiasa memberi sokongan sejak awal penglibatannya dalam industri muzik tanah air.

“Saya rasa ini peluang yang saya tidak boleh lepaskan. Ini juga adalah satu penghormatan untuk saya berterima kasih. Sekurang-kurangnya peminat dapat melihat sebahagian daripada kejayaan saya.
Malah, Siti juga bakal mengadakan konsert solo meraikan tiga dekad usianya dalam industri seni.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya