KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah mempergiatkan usaha membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menjalankan perniagaan di bazar-bazar Ramadan di seluruh negeri menerusi pelaksanaan Op Bazar Ramadan.
Pengarah JIM Sabah, Datuk Sharifah Sitti Saleha Habib Yusof berkata, operasi di bazar dilakukan setiap hari bagi memastikan warga asing tanpa dokumen tidak sewenang-wenangnya berniaga di bazar Ramadan.
Katanya, JIM Sabah turut melaksanakan operasi lain seperti Op Kutip dan Op Sapu bagi menangani isu PATI secara menyeluruh, malah operasi turut dijalankan berdasarkan aduan awam yang diterima berkaitan keberadaan PATI di kawasan tertentu terutama di penempatan setinggan.
“Sekiranya terdapat aduan daripada orang awam mengenai kehadiran PATI di kawasan mereka, pasukan penguat kuasa akan segera menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan kawasan itu bebas daripada warga asing tanpa dokumen,” katanya ketika mengadakan kunjungan hormat kepada Yang Dipertua Negeri, Tun Musa Aman di Istana Kinabalu, semalam.
Menurutnya, hasil beberapa siri operasi dijalankan setakat ini, pihaknya berjaya menahan seramai 1,143 orang PATI yang dipercayai terlibat dalam pelbagai aktiviti di negeri ini.
JIM Sabah telah melaksanakan proses penghantaran pulang PATI ke negara asal sebanyak 21 kali melibatkan seramai 1,382 individu dengan 90 peratus daripadanya merupakan warga Filipina.
Sharifah turut memaklumkan kunjungan hormat kepada Tun Musa Aman itu bertujuan memberikan penerangan mengenai prestasi serta fungsi imigresen khususnya berkaitan Bahagian (7) Akta Imigresen.
“Kami turut membincangkan keperluan mendesak untuk membina kompleks imigresen baharu yang mampu menempatkan keseluruhan bahagian JIM Sabah bagi meningkatkan kecekapan operasi dan perkhidmatan kami,” katanya. – UTUSAN