SUNGAI BULOH: Polis mengesahkan menerima laporan daripada Ismanira Abdul Manaf berhubung satu rakaman video yang memaparkan dirinya bersama Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin beberapa hari sebelum kanak-kanak itu ditemukan meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd. Hafiz Muhammad Nor berkata, laporan itu dibuat pada 9 Mac lalu, kira-kira pukul 2.43 petang kerana pengadu mendakwa berasa terancam.
Menurutnya, Ismanira menerima pautan video berdurasi lebih satu minit menerusi aplikasi WhatsApp yang dipercayai dimuat naik di TikTok.
“Rakaman itu menunjukkan dia berjalan sambil memegang tangan Zayn Rayyan menuju ke kawasan parkir motosikal di Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai.
“Beliau percaya individu yang merakam video itu berada di salah satu tingkat blok berkenaan dan mungkin merupakan penghuni di situ,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah Mohd. Hafiz, Ismanira mengesyaki kejadian itu bukan satu kebetulan memandangkan tidak lama selepas itu, anaknya ditemukan meninggal dunia kira-kira 200 meter dari lokasi rakaman tersebut.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan dan beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.
Terdahulu, Zayn Rayyan dilaporkan hilang pada 5 Disember 2023 sebelum mayatnya ditemukan di anak sungai berhampiran kediamannya sehari kemudian.
Kanak-kanak autisme itu dipercayai menjadi mangsa bunuh selepas hasil bedah siasat mendedahkan terdapat kesan kecederaan pada leher dan badannya.
Pada 13 Jun 2024, ibu bapanya, Ismanira dan Zaim Ikhwan Zahar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan mengabaikan anak mereka sehingga boleh menyebabkan kecederaan fizikal.
Kedua-duanya mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. – UTUSAN