KUALA KRAI: Seorang ibu tunggal parah selepas dipercayai diserang seekor gajah di Kampung Laloh, di sini semalam.
Kejadian sekitar pukul 10 pagi itu berlaku semasa Zainab Mat Husin, 63, sedang menoreh getah di kebun yang terletak kira-kira 20 meter dari kawasan rumahnya.
Selepas kejadian itu, seorang anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) turut parah dipercayai terkena tusukan gading gajah berkenaan semasa proses menjejak haiwan berkenaan.
Anak mangsa, Nazri Mat Husin, 46, berkata, ibunya belum sedarkan diri dan sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP).
“Ibu telah selamat menjalani pembedahan pada pukul 12 tengah malam tadi. Saya mengetahui kejadian yang menimpa ibu sekitar pukul 11 pagi semasa berada di tempat kerja di Shah Alam, Selangor selepas menerima panggilan dari ibu saudara,” katanya di sini hari ini. – UTUSAN