ALOR SETAR: Seorang wanita warga emas ditemukan maut dalam kejadian amuk membabitkan anak lelakinya yang mengalami masalah mental di sebuah kediaman di Jalan Tok Keling, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira 7.30 pagi itu, mangsa berusia 68 tahun ditemukan meninggal dunia dalam keadaan terbakar di dalam rumah tersebut.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, suspek berusia 43 tahun yang merupakan pemegang kad orang kurang upaya (OKU) ditahan polis sejurus kejadian.
“Temubual ke atas saksi iaitu anak kepada suspek berusia 14 tahun yang tinggal serumah memberitahu, dia terdengar pertengkaran yang berlaku antara ayahnya (suspek) dengan si mati iaitu neneknya antara pukul 7 hingga 7.30 pagi.
“Saksi mendengar jeritan neneknya meminta tolong, dia kemudian keluar dari bilik dan melarikan diri dari rumah untuk meminta bantuan daripada jiran berdekatan.
“Beberapa jiran cuba melihat apa yang berlaku namun telah diancam oleh suspek menyebabkan mereka terpaksa menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya di sini, hari ini.
Siti Nor Salawati berkata, pemeriksaan lanjut pihaknya menemukan satu mayat dalam keadaan terbakar di dalam rumah dipercayai telah dibunuh.
Katanya, lelaki itu kemudiannya berjaya ditahan di hadapan rumah terbabit dan polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti motif sebenar kejadian.
“Mayat si mati dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dengan tidak kurang 12 sebatan,” ujarnya.
Tambahnya, suspek akan dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah tahanan reman pagi ini bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan. – UTUSAN