PETALING JAYA: Saksi pendakwaan kelima memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari bahawa Ismanira Abdul Manaf gagal menjawab beberapa soalan mengenai kehilangan anaknya, Zayn Rayyan Abdul Matiin pada malam 5 Disember 2023.
Asisten Superintendan (ASP) Nor Zaharuddin Sanip berkata, selain soalan berkait dengan kehilangan kanak-kanak autisme itu, antara soalan yang diajukan adalah berkenaan minat kanak-kanak itu.
Soalan-soalan itu ditanyakan kepada Ismanira ketika dirakam percakapan di dalam kereta polis bersama pegawai penyiasat, Inspektor Nina Syamimi Syamsuddin berdekatan kawasan apartment tersebut.
“Selepas saya sampai, Inspektor Nina berada dalam kereta serba guna (MPV), sedang mengambil rakaman percakapan (Ismanira).
“Kemudian saya ada tanya ibunya bagaimana kejadian berlaku dan apa yang Zayn Rayyan minat. Dia tidak dapat jawab,” katanya semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aqharie Durranie Aziz.
Dalam pada itu, Nor Zaharuddin juga memaklumkan pada 5 dan 6 Disember 2023, pihaknya hanya meletakkan fokus siasatan kepada pencarian orang hilang.
“Penglibatan saya hanya pencarian arwah Zayn Rayyan pada 5 dan 6 Disember,” katanya.
Semasa sesi pemeriksaan balas oleh peguam bela Haresh Mahadevan, Nor Zaharuddin menafikan pihaknya menerima tekanan daripada pihak atasan.
Haresh: Tuan setuju pada masa menjalankan siasatan bersama-sama Inspektor Nina, menghadapi banyak tekanan daripada pihak-pihak atasan untuk menghabiskan siasatan ini secepat mungkin, betul?
Nor Zaharuddin: Tidak setuju. Sebab saya sehingga pencarian orang hilang sahaja.
Haresh: Tetapi yang melaporkan kepada pihak atasan adalah anda dan pegawai penyiasat, betul?
Nor Zaharuddin: Saya hanya brief (maklumkan) tentang orang hilang sahaja.
Sebelum ini, Nor Zaharuddin dalam keterangannya telah mengarahkan Inspektor Nina Syamimi yang juga bekas pegawai penyiasat kes itu untuk menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan bomba manakala beliau pula menghubungi unit anjing pengesan (K9) Bukit Aman.
Nor Zaharuddin berkata Unit K9 bersama dua anjing telah melakukan pencarian di kawasan belukar, anak sungai dan kebun meliputi radius 700 meter dari Blok R.
Bagaimanapun, saksi pendakwaan kelima itu berkata Unit K9 tidak dapat mengesan berikutan keadaan cuaca hujan, pencemaran bau dan kawasan itu telah dimasuki orang ramai.
Mengikut pertuduhan pindaan, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira; kedua-duanya berusia 30 tahun yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan didakwa bersama-sama mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkan kecederaan fizikal.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di antara 5 Disember 2023, pukul 12 tengah hari dan 6 Disember 2023, pukul 9.55 malam di sekitar kawasan blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan apartment sama.
Pertuduhan masih kekal mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum Rm50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.-UTUSAN