PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkongsikan bahawa dua wanita terpenting dalam hidupnya adalah ibunya, Allahyarham Che Yam Hamid Hussein dan isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Perdana Menteri berkata, kedua-dua wanita itu merupakan tulang belakangnya dan sumber kekuatan untuk menuntut keadilan dan meneruskan perjuangan demi rakyat.
“Hari ini, kita meraikan keberanian, pengorbanan, dan peranan luar biasa wanita dalam membentuk masyarakat yang lebih adil dan sejahtera.
“Semoga kita terus memperjuangkan hak dan martabat wanita, memastikan mereka diberi ruang dan peluang yang saksama dalam semua aspek kehidupan. Selamat Hari Wanita!,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam hantaran yang dikongsikannya di akaun Facebook miliknya hari ini.
Perdana Menteri turut berkongsikan sekeping foto beliau, Dr. Wan Azizah dan ibunya dalam hantaran berkenaan. – UTUSAN